Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Bersempena dengan Hari Kokurikulum di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Kedutaan Besar Diraja Thailand di Brunei Darussalam telah menganjurkan Hari Thailand bertempat di Dewan Serbaguna KUPU SB.
Hari Thailand merupakan kerjasama istimewa antara Kedutaan Besar Diraja Thailand di Brunei Darussalam dan KUPU SB yang disokong oleh pelajar Thailand yang belajar di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul antara lain menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Brunei khususnya pengurusan setiap institusi kerana menjaga kesejahteraan pelajar Thailand yang menuntut di negara ini supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran dalam persekitaran yang selamat tanpa banyak gangguan.
Antara matlamat utama acara Hari Thailand adalah memperkenalkan beberapa aspek negara Thailand seperti makanan, pelancongan, kesenian dan kraf yang mana akan memperdalam lagi jalinan persahabatan antara rakyat dan penduduk dari Brunei Darussalam dan Thailand.
Majlis pada pagi tadi turut diserikan dengan persembahan Choral Speaking daripada pelajar Thailand di Brunei Darussalam diikuti dengan persembahan kebudayaan dari pelajar di KUPU SB.
Tetamu kehormat dan para jemputan lainnya juga berkesempatan melawat beberapa petak pameran di samping menyaksikan pertunjukan demonstrasi masakan Thailand.