BROOKFIELD, ILLINOIS, 28 JAN – Seekor harimau Amur berusia 10 tahun yang mengidap artritis menjalani pembedahan mengganti pinggul di sebuah zoo luar Chicago semalam, dan pasukan pembedahannya yakin prosedur itu akan melanjutkan jangka hayatnya.
Doktor haiwan di Zoo Brookfield berkata haiwan, seperti manusia, mengalami masalah degeneratif dalam sendi apabila usia semakin meningkat. Apabila harimau, Malena, tiba di zoo tahun lalu, ia telah pun didiagnosis dengan artritis pinggul dan menerima ubat melegakan kesakitan.
“Kami berharap dengan pembedahan ini, kami boleh menyembuhkan artritis dan melegakan kesakitan supaya ia boleh menjalani kehidupan berkualiti untuk tahun-tahun akan datang,” kata Dr Michael Adkesson, daripada Persatuan Zoologi Chicago. Pakar bedah ortopedik Dr James Cook, dari Universiti Missouri, berkata pembedahan selama enam setengah jam itu amat mencabar dan mengambil masa lebih lama daripada dijangka. Namun beliau berkata pembedahan berjalan lancar dan Malena nampaknya boleh menggerakkan pinggulnya selepas prosedur itu.
“Enam minggu pertama adalah kritikal, tetapi kami telah berusaha sedaya upaya dan gembira dengan keputusannya,” kata Cook. Pembuat alat perubatan Arthrex menggunakan data daripada imbasan CT Malena untuk mencipta, menghasilkan dan menderma implan yang dibuat khas untuk sendi Malena, kata Cook.
“Kami perlu mengganti kedua-dua bahagian, bola dan soket, dan kami perlu melakukannya dalam cara terbaik supaya kami boleh melindungi sistem ototnya dan memberikannya peluang sembuh terbaik,” katanya sebelum pembedahan. – AP