Tuesday, December 17, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau bengal putih diberi cukup makan, ikut diet disarankan perhilitan

    MELAKA, 8 JAN – Harimau bengal putih yang berada di bawah jagaan Zoo Melaka diberi makanan yang cukup serta mengikut diet disarankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

    Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata bagaimanapun harimau berkenaan yang diberi nama Elsa mempunyai masalah kesihatan sejak dilahirkan kerana ia dibiakkan di dalam keluarga yang sama.

    “Kami menerima Elsa pada 2019 dengan berat badannya sekitar 50 kilogram (kg) dan berjaya ditingkatkan kepada 70kg ketika ini. Menjaga Elsa seperti jaga anak kecil kerana ia mempunyai masalah kesihatan sejak lahir seperti ada masalah tulang punggung, tulang belakang serta rahang.

    “(Elsa) nak makan susahlah sebenarnya…Bila kita tahu dia ada masalah pada kesihatan, masalah pemakanan pun susah, dia jadi macam nak kena jaga anak kecil, makan nak kena bersuap,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Berikutan itu doktor veterinar yang ditugaskan menjaga Elsa mengaturkan diet dan rutin baharu bagi haiwan berkenaan agar ia mampu hidup berdikari.

    Sapiah berkata ketika ini Elsa perlu makan dengan sendiri dan hanya disuap oleh penjaganya apabila diperlukan sahaja selain turut dilepaskan di kandang terbuka bagi membantu proses pemulihannya. – Bernama

    Keadaan semasa harimau bengal putih yang diberi nama Elsa ketika tinjauan di Zoo Melaka pada 8 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda