Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau bintang ditangkap selepas merayau-rayau di hotel

    JAKARTA, 6 OKT – Seekor harimau bintang berjaya ditangkap hari ini selepas ia merayau-rayau di kompleks hotel di salah satu destinasi percutian paling popular di Indonesia, menimbulkan panik dalam kalangan tetamu.

    Kucing besar itu dilihat pada pagi hari ini di luar bilik tetamu di tingkat dua sebuah hotel di Bandung, ibu negeri Jawa Barat, wilayah paling padat penduduk di Indonesia.

    Pihak pengurusan hotel telah memaklumkan kepada bomba, yang seterusnya menghubungi agensi pemuliharaan tempatan mengenai penampakan haiwan tersebut.

    “Kami menggunakan ubat penenang dan sekitar jam 10 pagi, harimau bintang itu telah dikeluarkan dari hotel,” kata Agus Arianto, ketua agensi pemuliharaan Jawa Barat, kepada AFP.

    Pada akhir Ogos lalu, seekor harimau bintang dilaporkan telah melarikan diri dari sebuah zoo yang terletak hanya lima kilometer dari hotel tersebut.

    Seekor harimau kumbang Jawa yang diberi ubat penenang terbaring di dalam sangkar di sebuah hotel di Bandung, Jawa Barat, kelmarin, selepas memasuki kawasan hotel tersebut. – AFP

    Agus berkata ia akan mengambil masa untuk menentukan sama ada haiwan yang ditangkap hari ini adalah sama.

    “Pada masa ini, harimau bintang sudah mula sedar. Ia telah mula mengaum,” kata Agus, menambah bahawa haiwan tersebut akan dibawa ke fasiliti pemuliharaan untuk pemerhatian.

    Indonesia pernah menyaksikan insiden lain melibatkan haiwan zoo yang melarikan diri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Pada 2021, dua harimau Bengal melarikan diri dari sebuah zoo di Singkawang, Kalimantan Barat, selepas hujan lebat beberapa hari menyebabkan lubang terbentuk berhampiran kandang haiwan tersebut.

    Seorang penjaga zoo lelaki berusia 47 tahun dan beberapa haiwan ditemui mati berhampiran kandang harimau itu.

    Salah seekor harimau ditembak mati, manakala seekor lagi ditangkap hidup-hidup. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda