Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Harimau bintang salji ditangkap di Afghanistan

    AFGHANISTAN, 4 FEB – Pihak berkuasa Afghanistan telah menangkap seekor harimau bintang salji yang jarang ditemui di pergunungan timur laut negara itu dan sedang bersiap sedia untuk melepaskannya kembali ke alam liar selepas ia dilaporkan membunuh berpuluh-puluh haiwan ternakan, kata kumpulan pemuliharaan hari ini.

     

    Harimau bintang yang terancam itu ditangkap pada malam Khamis lalu selepas terperangkap dalam kandang ternakan di daerah luar bandar Zibak di wilayah Badakhshan, menyerang kira-kira 30 ekor haiwan, kata Timbalan Gabenor daerah itu, Abdulrahman Kasra, kepada AFP, kelmarin.

     

    Harimau bintang yang masih kecil itu dibawa ke ibu kota wilayah Faizabad dan dikurung di perkarangan gabenor, tambahnya.

     

    Ketua pejabat Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar di Badakhshan berkata seorang doktor haiwan telah merawat kecederaan ringan yang dialami di kaki kucing besar itu dan ia akan dilepaskan semula ke alam liar.

     

    “Pihak berkuasa telah berjanji kepada kami mereka akan melepaskan harimau bintang itu semula ke daerah Zibak tidak lama lagi,” kata Khorosh Sahel kepada AFP.

     

    Timur laut pergunungan Afghanistan adalah salah satu daripada beberapa habitat harimau bintang yang sukar ditangkap, yang digelar ‘hantu gunung.’

     

    Mereka disenaraikan sebagai spesies ‘terancam’ oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), dengan bilangannya berkurangan akibat kesan perubahan iklim, kehilangan habitat dan pemburuan haram.

     

    Dalam kejadian yang sama tahun lepas, kira-kira 40 ekor haiwan ternakan dilaporkan dibunuh oleh harimau bintang salji di Badakhshan. – AFP

    Seekor harimau bintang salji dilihat dalam sangkar di rumah gabenor di Fayzabad pada 4 Februari lalu. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...