Harimau bintang tersesat ditangkap

HYDERABAD, INDIA, 20 JAN – Seekor harimau bintang telah berjaya ditangkap selepas satu operasi pencarian dilakukan di Selatan India, sekali gus mencetuskan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan haiwan berkenaan.

Spesies kucing besar itu muncul dari hutan Kamdanam dan berlari memasuki sebuah rumah di bandar Shadnagar di negeri Telangana, kata Dr Mohammad Abdul Hakeem, seorang pegawai hidupan liar.

Selepas penduduk di kawasan berdekatan kawasan itu dikerahkan berpindah, para pegawai hidupan liar telah memulakan operasi untuk mencari dan menangkap haiwan berkenaan. Sejurus sahaja haiwan berkenaan berjaya ditangkap, penduduk tempatan dengan rasa keterujaan menyaksikan haiwan tersebut dengan mengambil gambar dan video.

Satu rakaman video oleh penduduk tempatan menunjukkan harimau bintang itu dilihat sedang berehat di beranda atas sebuah rumah teres.

“Harimau bintang itu kemudiannya dipindahkan ke dalam zoo, di mana ia akan diletakkan di bawah pemerhatian dan dibebaskan kembali ke hutan selepas beberapa hari,” kata Hakeem.

Konflik yang mematikan antara manusia dan haiwan telah meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini di India yang sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan habitat hutan dan pembangunan bandar. – AP

Para pegawai hidupan liar ketika cuba menangkap harimau bintang berkenaan yang ditemui di sebuah rumah teres di Shadnagar, 55 kilometer dari Hyderabad, India,kelmarin. – AP