Sunday, December 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau dahan dijumpai semula

    WASHINGTON, 15 JAN – Kebebasan hanyalah sementara buat Nova, harimau dahan yang telah melarikan diri daripada kandangnya di Zoo Dallas baru-baru ini, yang telah ditemui semula beberapa jam kemudian berhampiran tempat tinggalnya.

    Walaupun ia tidak lari jauh, insiden tersebut menyebabkan zoo terpaksa ditutup setelah pegawai polis melakukan pencarian, termasuk menggunakan dron yang dilengkapi kebolehan inframerah.

    Pihak zoo berkata dalam Twitter, “Rasa teruja untuk melaporkan kami telah menjumpai Nova di kawasan zoo pada petang ini.

    “Ia telah dijumpai sangat hampir dengan tempat tinggalnya, dan pasukan telah berjaya menyelamatkannya sebelum 5:15 petang.”

    Pekerja mendapati Nova telah hilang pada pagi Jumaat apabila mereka memeriksa terdapat jaring yang koyak dalam kandang harimau berusia empat tahun yang berkongsi tempat dengan kakaknya, Luna.

    Harrison Edell, timbalan presiden untuk penjagaan haiwan di Zoo Texas, menegaskan bahawa harimau dahan tersebut pada kebiasaannya tidak mendatangkan bahaya kepada manusia.

    “Jika awda terlihat seekor kucing yang lebih besar daripada kucing rumah, lebih kecil daripada kucing hutan, kami ingin mendapatkan maklum balas,” katanya.

    Menurut Edell, Nova mempunyai berat antara sembilan dan 11 kilogram.

    Harimau dahan berasal dari Himalaya dan sebahagian dari Asia Tenggara dan China. – AFP

    Gambar fail yang diberikan oleh Zoo Dallas menunjukkan harimau dahan bernama Nova sedang berehat di atas pokok dalam kandang Zoo Dallas. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda