Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau jadian di Pantai Telisai

    Oleh Helmy HA –

    Umurku baru mencecah 16 tahun. Disebabkan kenakalanku yang sering pulang lewat malam, memberikan pengajaran berharga buat diriku untuk tidak ingin pulang lewat lagi.

    Aku, Hamdan dan Adi berkawan rapat. Kami sering bermain bola di padang bersama-sama.

    Maklumlah seingatku pada waktu itu Piala Dunia 1986 sedang hangat berlangsung, jadinya kami bermain dari petang sehinggalah lewat Maghrib baru kami berhenti. Adakalanya kami berhenti sehingga dekat waktu Isyak. Tak kurang dari itu, selesai saja kami bermain bukannya aku terus pulang ke rumah, malahan aku dan kawan-kawanku sering kali lepak berdekatan dengan padang bola tempat kami bermain.

    “Hamdan, minta sigupmu,” Adi meminta kepada Hamdan. “Nah, tinggal sebatang saja ni,” kata Hamdan sambil memberi.

    Aku hanya memerhatikan mereka berdua sahaja sedang asyik menghisap rokok. Asap rokok yang berkepul-kepul membuatkan mataku pedih terkena asap rokok mereka berdua.

    Gambar Freepik

    Maklumlah aku bukannya kaki rokok. Jam sudah menunjukkan pukul 7:15 malam, kami masih lagi berborak-borak dengan asyik sehingga tidak sedar akan kehadiran seseorang.

    “Oi wang, boleh kuminta tolong?” Tiba-tiba ada seorang tua bertanya kepada kami.

    Kami semua terkejut bagaikan sang petir menghentam langit. Tiba-tiba mata kami tertumpu kepada orang menyapa kami di samping ada sesuatu yang dipikul di bahunya yang dibungkus dengan kain guni. Kakiku terasa berat hendak melarikan diri sedang Hamdan dan Adi hanya diam melihat orang itu sambil rokok yang mereka hisap itu sudah sampai ke puntungnya.

    “Boleh kamu bawakan aku di mana jalan ke Pantai Telisai,” tanya orang tua itu.

    Orang tua itu umurnya dalam lingkungan 70 tahun. Namun aku lihat dari segi tubuh fizikalnya orang tua itu masih kuat dan cergas.Orang tua itu aku rasa bukanlah orang yang berasal dari kampung ini, jika dia berasal dari kampung ini sememangnya dia sudah tahu di mana tempat menuju ke pantai Telisai.

    “Kenapa pak cik hendak ke Pantai Telisai waktu malam-malam begini,” aku memberanikan diri bertanya kepada orang tua itu.

    “Pak cik nak melihat keadaan pantai, adakah airnya kuat berombak atau inda,” orang tua itu menjawab soalanku.

    Aku memandang ke arah muka Hamdan dan Adi, mereka memberikan isyarat tanda bersetuju untuk membawa pak cik itu ke Pantai Telisai. Jarak di antara padang bola tempat kami lepak itu sangat jauh dengan pantai Telisai. Kami bertiga berjalan tanpa berkata apa-apa sesama sendiri. Aku dan Hamdan berada di depan sedang Adi dan pak cik itu di belakang kami sambil mengikut ke mana arah tuju kami.

    Tiba sahaja berdekatan dengan pantai itu, aku terhidu bau yang sangat busuk dan terasa badanku sungguh sejuk. Ku pandang ke arah Hamdan, dia kelihatan seolah-olah kesejukan tetapi aku tidak tahu adakah dia tercium bau busuk seperti yang aku cium juga. Aku tidak berani bertanya kerana aku masih ingat cakap orang-orang tua itu jika kita tercium sesuatu yang aneh di tempat yang sunyi lebih baik kita jangan menegur atau berkata apa-apa.

    Kami meneruskan perjalanan dan tiba-tiba terdengar bunyi ombak pantai begitu kuat.

    Kami sudah hampir sampai, aku menoleh ke belakang dan melihat ke arah muka Adi dan pak cik itu.

    “Pak cik inilah Pantai Telisai,” kata Adi kepada pak cik tua itu.

    “Terima kasih nak, sekarang boleh balik tapi kamu harus ingat, kamu tidak boleh balik ke mari semula dan tidak boleh menoleh ke belakang,” pak cik itu bercakap kepada kami.

    Kami semua mengangguk kepala. Di dalam perjalanan balik,hatiku terasa tidak sedap dan aku cuba memberanikan diriku untuk bertanya kepada Hamdan.

    “Hamdan, ada kau tercium bau busuk tadi?” tanyaku kepada Hamdan.

    “Aku pun tercium bau busuk tadi, kuat lagi tu baunya macam bau atu ada di sebelah aku,” Hamdan membalasnya balik.

    Kami semua berhenti dan melihat sesama sendiri. Aku merasa sesuatu yang tidak kena, Hamdan meminta supaya kami semua berpatah balik ke pantai itu untuk melihat apa yang sedang dibuat oleh orang tua itu tadi.Mula-mulanya aku tidak berani kerana kami sudah berjanji kepada pak cik itu. Tetapi Adi memaksa supaya berpatah balik juga. Aku mengalah kepada mereka berdua.

    Kami menuju ke pantai itu semula tetapi tidak mengikut jalan yang sama, kami menggunakan jalan semak supaya tidak dicam oleh orang tua itu akan kehadiran kami.

    Sedang kami meniarap di semak itu terdengar oleh kami satu bunyi yang sungguh menyeramkan, seakan-akan bunyi harimau. Kami cuba memberanikan diri untuk tidak lari dan ingin mengetahui lagi apakah bunyi itu.

    “Syhhh, jangan bergerak,” Hamdan cuba memberitahu aku dan Adi.

    Kami berhenti seketika di semak itu, dan apabila kami cuba melihat di celah-celah semak itu kami terpandang pak cik yang baru kami hantar tadi. Kami melihat pak cik itu sedang cuba membuka sesuatu di dalam guninya itu. Kami terkejut apabila melihat benda yang dikeluarkan oleh pak cik itu adalah bangkai kambing. Jadinya bau busuk yang kami tercium itu adalah dari guni yang dibawa oleh pak cik itu tadi. Tiba-tiba kami melihat pak cik itu mencakar badan kambing itu seolah-olah kukunya tajam seperti kuku harimau.

    Kami semua bengang melihat kelakuan pak cik itu sambil ketakutan. Tiba-tiba pak cik itu berubah menjadi seekor harimau. Rupa-rupanya pak cik itu adalah harimau jadian. Kami bertiga begitu takut dan tiba-tiba Adi cuba hendak lari di celah-celah semak itu.

    Kedengaran bunyi bising ketika Adi hendak lari. Tiba-tiba mata harimau jadian itu menoleh ke arah tempat bunyi bising itu.

    Aku dan Hamdan mendiamkan diri sedang Adi juga tidak bergerak kerana takut diketahui oleh harimau jadian itu.

    “Hamdan camana ni?” aku bertanya kepada Hamdan sambil ketakutan.

    “Entah! Begini saja baik tah kitani lari secara diam-diam sahaja,” Hamdan cuba mengajar kami.

    Aku dan Hamdan memberi isyarat kepada Adi supaya merangkak sahaja dan jangan berlari. Sebelum kami hendak merangkak balik, terlihat olehku dan Hamdan akan harimau jadian itu sudah bertukar wajah menjadi pak cik semula. Mungkin kami rasa pak cik itu takut diketahui oleh orang lain bahawa dia adalah seekor harimau jadian. Kami terus merangkak balik. Setibanya kami di tempat yang jauh dari kawasan pantai itu, kami pun terus melarikan diri dengan langkah seribu. 

    Aku tiba di rumah dengan begitu ketakutan dan terus ke dalam bilik. Pada keesokan harinya aku memberitahu kepada orang tuaku tentang kejadian ngeri yang kami alami semalam. Orang tuaku hanya mentertawakan aku. Mereka tidak percaya akan kata-kataku.

    Lalu aku, Hamdan dan Adi juga cuba memberitahu kepada kawan-kawan kami yang lain.

    Mereka juga seolah-olah tidak percaya akan peristiwa ngeri yang kami alami itu.

    “Eh kamu, ada kamu nampak kambing bapakukah? Hilang bah semalam,” tiba-tiba seorang dari kawan kami datang dan memberitahu sesuatu.

    Kami semua berpandangan antara satu sama lain dan sepantas kilat kami semua balik ke rumah masing-masing dan tidak bermain bola selama seminggu. Namun peristiwa ngeri itu menjadi tanda tanya kepada aku, Hamdan dan Adi. Ini kerana belum ada yang cuba mempercayai kata-kata kami.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda