DHAKA, 26 JUN – Gambar seekor harimau kumbang yang dirakam oleh kamera perangkap di kawasan hutan di Banjaran Bukit Chittagong, Bangladesh telah membangkitkan harapan dalam kalangan pencinta alam sekitar yang berusaha menyelamatkan spesies terancam kritikal itu.
Pertubuhan Creative Conservation Alliance (CCA) Bangladesh telah mengeluarkan gambar harimau kumbang itu yang muncul dari semak-semak hijau tebal dan menyifatkan perkara tersebut sebagai ‘bukti haiwan besar yang sukar dikesan itu masih wujud’ di banjaran hutan berhampiran sempadan Bangladesh dengan India dan Myanmar.
“Kita perlu memastikan perlindungan terhadap spesies itu supaya tidak pupus,” kata pegawai penyelidik CCA, Sourav Chakma kepada AFP hari ini.
Secara global, harimau kumbang dikategorikan sebagai spesies rentan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), namun di Bangladesh yang berpopulasi lebih 170 juta orang dan diklasifikasikan sebagai sangat terancam dengan amaran terhadap populasinya mungkin tidak lagi berkembang untuk jangka panjang.
Ahli zoologi dari Universiti Jahangirnagar, Monirul Khan berkata, laporan sebelum ini mengenai haiwan tersebut hanya berdasarkan kesan tapak kaki dan kelibat yang jarang-jarang dijumpai di hutan.

“Sebagai spesies yang sangat jarang dan sukar dikesan, penemuan terbaharu ini sangat penting,” katanya.
“Ia menunjukkan betapa pentingnya hutan semula jadi yang masih wujud di Banjaran Bukit Chittagong sebagai habitat hidupan liar.”
Spesies pemangsa itu dahulunya banyak ditemui di kawasan hutan, tetapi kehilangan habitat, kekurangan mangsa dan aktiviti pemburuan haram menjadi penyumbang utama kepada kepupusannya, kata pakar.
Bangladesh turut menjadi habitat harimau belang, yang kini hanya terdapat di hutan paya bakau Sundarbans yang merentasi sempadan dengan India.
Di sebelah Bangladesh, tinjauan terbaharu yang dikeluarkan pada Oktober 2024 mencatatkan 125 ekor harimau, meningkat berbanding 114 pada tahun 2019. – AFP

