KUALA LUMPUR, 18 APRIL – Dua aksi persahabatan melibatkan skuad Harimau Malaya akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jun ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengumumkan bahawa harga tiket kekal pada kadar RM30 bagi dewasa.
“Pasukan kita akan beraksi di Kuala Terengganu untuk memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan menyaksikan perlawanan dan pemain secara dekat,” katanya.
Hamidin yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, berkata demikian selepas meninjau latihan skuad terjun kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bersama Timbalannya, Datuk Nicol David.
Skuad Harimau Malaya yang melonjak ke ranking 138 dunia pada awal bulan ini, dijadual bertemu Kepulauan Solomon yang menghuni ranking ke-134 dunia sama ada pada 15 atau 16 Jun, diikuti aksi menentang Yaman (ke-157) pada 20 Jun.
Pasukan kendalian Kim Pan Gon sebelum ini, mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lepas, menyaksikan skuad kebangsaan mencatat kemena-ngan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong. – Bernama