Wednesday, April 17, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Harimau Malaya benam Hong Kong dengan bergaya

    KUALA LUMPUR, 1 JUN – Malaysia mencatat dua kemenangan berturut-turut menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 selepas mengatasi pasukan di ranking lebih tinggi, Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, hari ini.

    Muhammad Safawi Rasid meletakkan skuad Harimau Malaya di hadapan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum pemain gantian, Safiq Rahim menjaringkan gol kedua untuk pasukan Malaysia menerusi sepakan percuma pada minit ke-90.

    Kejayaan tersebut disaksikan oleh kira-kira 19,075 penonton yang hadir ke stadium berkenaan dan merupakan kemenangan pertama pasukan Malaysia ke atas Hong Kong sejak 2012. Selain daripada itu, ia adalah kemenangan yang diperlukan skuad bimbingan Kim Pan Gon sebelum menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia bermula minggu hadapan.

    Setelah mengalahkan Brunei Darussalam pada Jumaat lalu, anak buah Pan Gon turun berkeyakinan tinggi dan berusaha mengekalkan dominasi permainan sepanjang babak pertama dengan dua pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid beraksi cemerlang.

    Keghairahan Malaysia dalam memburu gol menyaksikan mereka mencipta dua peluang seawal 10 minit pertama, namun rembatan Muhamamd Safawi dihalang pertahanan lawan pada minit keenam sebelum La’vere Lawrence Corbin Ong gagal menyambar hantaran lintang rakan sepasukan pada minit kelapan.

    Jaringan ditunggu-tunggu pasukan Malaysia hadir pada minit ke-31 selepas Muhammad Akhyar dijatuhkan Fung Hing Wa dalam kotak penalti yang menyaksikan Muhamamd Safawi tenang melepaskan rembatan ke kiri gawang menewaskan penjaga gol Paulo Cesar Da Silva Argolo.

    Menghampiri waktu rehat, Malaysia terlepas peluang keemasan untuk menggandakan jaringan selepas penyerang Darren Lok yang berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan yang gagal menanduk kemas bola ke gawang.

    Setelah itu, pada babak kedua perlawanan, pasukan tersebut memulakan permainan dengan garang dan hampir meledakkan gol kedua, namun Darren sekali lagi kecewa selepas tampanannya gagal menewaskan Paulo Cesar pada minit ke-49.

    Malaysia sekali lagi mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan apabila Akhyar Rashid yang berjaya menggelecek penjaga gol gagal melepaskan rembatan tepat ke arah gol pada minit ke-53.

    Di pertengahan babak kedua, Pan Gon membuat pertukaran dengan membawa masuk beberapa pemain antaranya Safiq, yang akhirnya berjaya membantu pasukan negara di ranking ke-154 meraih kemenangan selesa berdepan Hong Kong di ranking ke-147. 

    Sepakan percuma Safiq terkena benteng pertahanan sekali gus menyaksikan Paulo Cesar gagal menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi buat kali kedua.

    Perlawanan persahabatan tersebut juga merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum skuad kebangsaan membuka tirai Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional menentang Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh nanti.

    Sementara Hong Kong akan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia menentang tuan rumah India, Afghanistan dan Kemboja dalam saingan Kumpulan D bulan ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...