Harimau Malaya dijangkiti COVID-19

NEW YORK, 6 APRIL – Seekor harimau di Zoo Bronx di New York diuji positif COVID-19, kata zoo semalam, dan ia dipercayai terdedah kepada penyakit tersebut daripada seorang penjaga yang tidak menunjukkan gejala pada masa itu.

Harimau Malaya berusia empat tahun diberi nama Nadia dan seekor lagi Azul, dua harimau Amur dan tiga singa Afrika semuanya mengalami batuk kering dan dijangka pulih sepenuhnya, kata Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang mengendali zoo berkenaan dalam satu kenyataan.

“Kami melakukan ujian terhadap Nadia dengan berhati-hati dan memastikan sebarang maklumat diperoleh mengenai COVID-19 akan menyumbang kepada pemahaman berterusan tentang wabak ini di seluruh dunia,” kata kenyataan yang dihantar kepada AFP.

“Walaupun haiwan-haiwan itu kurang selera, keadaan harimau di Zoo Bronx adalah baik, peka dan masih berinteraksi dengan penjaga zoo.

“Tidak diketahui bagaimana virus itu boleh ada dalam badan harimau kerana setiap spesies memberikan tindak balas berbeza terhadap jangkitan, namun kami akan terus memantau mereka dengan lebih dekat.

Kesemua empat zoo dan akuarium di New York – di mana jumlah kematian akibat virus telah mencecah 4,000 – telah ditutup sejak 16 Mac. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar menunjukkan Nadia, harimau Malaya di Zoo Bronx di New York. – AP