Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau Malaya diuji lagi

    KUALA LUMPUR, 2 JUN – Skuad Harimau Malaya sekali lagi berdepan cabaran apabila penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pula ditimpa kecederaan menjelang dua aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027, bulan ini.

    Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam hantaran di Facebook malam tadi mengesahkan pemain Johor Darul Takzim (JDT) berusia 28 tahun itu terpaksa melupakan hasrat menyertai kem latihan pusat atas nasihat doktor kelabnya.

    Ahmad Syihan merupakan pemain keenam mengalami kecederaan selepas lima tonggak serangan iaitu dua pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi serta tiga penyerang, Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales terpaksa diketepikan.

    “Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol sedia ada iaitu Azri Abdul Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman,” menurut hantaran tersebut.

    FAM memaklumkan pemain tengah Selangor FC, Nooa Laine bakal menyertai skuad kebangsaan esok bagi melengkapkan senarai 25 pemain yang akan terbang ke Bishkek pada Selasa.

    Saingan seterusnya pasukan Malaysia ialah menentang tuan rumah, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Khamis ini, sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.

    Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata. – Bernama

    Skuad Harimau Malaya ketika berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 30 Mei lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda