KUALA LUMPUR, 19 NOV – Nasib tidak menyebelahi Malaysia selepas seri 1-1 menentang India pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad semalam.
Skuad Harimau Malaya yang terpalit kontroversi tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dilepaskan pulang menjelang pertembungan malam ini, tampil dengan persembahan positif apabila berjaya menyerap tekanan dan asakan awal pasukan tuan rumah sebelum terlebih dahulu berada di hadapan.
Kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu gagal mengeluarkan bola hantaran jauh Muhammad Azam Azmi Murad di luar kotak penalti, menyaksikan penyerang naturalisasi Paulo Josue tenang melepaskan rembatan ke gawang yang tidak dikawal pada minit ke-19.
Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila India kendalian Manolo Marquez menyamakan kedudukan selepas Rahul Bheke berjaya melepasi kawalan pertahanan Malaysia untuk menanduk masuk sepakan penjuru Brandon Fernandes pada minit ke-38.
Kedua-dua pasukan mengekalkan intensiti yang sama memasuki separuh masa kedua dalam usaha menambah jaringan, menyaksikan Malaysia berjaya melakukan gerakan berbahaya, namun rembatan padu Daniel Ting dari sudut sukar berjaya ditepis keluar Gurpreet Singh.
Seminit kemudian, gawang Malaysia cemas seketika apabila skuad The Blue Tigers melancarkan serangan balas pantas ke dalam kotak penalti, namun peluang itu gagal disudahkan dengan baik oleh Lallianzuala Chhangte apabila rembatannya melambung tinggi.
Pasukan Malaysia sekali lagi terlepas peluang untuk kembali mendahului perlawanan selepas sepakan gunting pemain gantian Muhammad Safawi Rasid dalam kotak penalti tersasar pada minit ke-69.
Tuah ternyata bukan milik anak buah Vicente apabila tandukan penyerang gantian Fergus Tierney hanya menggegar tiang sebelum Gurpreet Singh bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan susulan Muhammad Safawi, masing-masing pada masa tambahan separuh masa kedua. – Bernama