Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau Malaya naik enam anak tangga ranking FIFA

    KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Kedudukan Harimau Malaya melonjak enam anak tangga ke ranking ke-125 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan kelmarin.

    Pencapaian itu merupakan yang terbaik diraih skuad Malaysia dalam tempoh hampir dua dekad, sekali gus menyuntik semangat baharu menjelang aksi seterusnya dalam kempen Piala Negara-negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadualkan bermula hujung bulan depan.

    Perkembangan positif tersebut dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di laman media sosial rasmi mereka.

    Kedudukan ranking itu adalah yang terbaik dalam tempoh 19 tahun sejak kali terakhir berada pada kedudukan ke-125 dunia pada Februari 2006.

    Lonjakan ranking itu disumbangkan menerusi dua keputusan memberangsangkan sebelum ini, iaitu seri 1-1 menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan pada Mei lalu, serta kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia bulan lepas.

    Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik serantau apabila menghuni tangga ke-102 dunia, diikuti Vietnam pada tangga ke-113, Indonesia pada tangga ke-118, dan Malaysia menduduki tangga ke-125. – Bernama

    Sesi latihan skuad Harimau Malaya sebelum menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda