KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Peningkatan prestasi pasukan kebangsaan Malaysia sehingga melonjak tujuh anak tangga dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dipengaruhi antaranya peranan penting tanpa disedari yang dimainkan kelab gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Penolong pengurus skuad kebangsaan Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin bin Mohd Shahar berkata tidak dinafikan keberhasilan peningkatan prestasi pasukan adalah disebabkan pemilihan dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam melantik Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.
Namun di sebalik perubahan positif dibawa Pan Gon, Kamarul Ariffin berkata kualiti dipamerkan skuad Harimau Malaya ketika ini adalah kerana mutu barisan pemain itu sendiri dengan lebih 50 peratus yang mengisi kesebelasan utama sejak akhir ini merupakan pemain JDT.
“JDT melahirkan pemain yang baik kerana fasiliti mereka, kerana apa ditekankan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) di kelab iaitu aspek profesionalisme, padang latihan, pusat latihan dan barisan kejurulatihan, semuanya bertaraf dunia.
“Sehinggakan serendah-rendah perkara seperti nutrien pun TMJ tentukan. Jadi semua (peningkatan) ini hasil kerja keras dan ketekunan TMJ, kenyataan ini tidak dapat disangkal,” kata bekas pengurus skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan Malaysia kepada Bernama, di sini.
Malaysia naik tujuh anak tangga daripada kedudukan 145 untuk berada di posisi 138 dalam ranking FIFA yang dikeluarkan bulan ini susulan dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Johor, bulan lepas.
Mengulas mengenai pengalaman pasukan Malaysia mengadakan kem latihan pusat selama 12 hari di Johor, Kamarul Ariffin berkata berlatih di Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan bermain dua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah mencipta satu standard yang tinggi. – Bernama