Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harimau Malaya tersingkir dari Piala Asia

    QATAR, 21 JAN – Malaysia tersingkir daripada kempen Piala Asia 2023 selepas tumpas 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E yang cukup mendebarkan di Stadium Jassim bin Hamad, semalam.

    Jaringan tunggal penyerang Bahrain, Ali Madan, pada penghujung permainan memusnahkan peluang Harimau Malaya mengintai kemaraan ke pusingan 16 terakhir.

    Ia kekalahan kedua dicatat skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon selepas tewas 0-4 kepada Jordan Isnin lalu sekali gus akan melengkapkan baki saingan kumpulan dengan menentang juara dua kali Korea Selatan, Khamis ini.

    Pada pertembungan sulung kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia itu, empat pertukaran dibuat Kim Pan Gon dalam kesebelasan utama menyaksikan pasukan negara yang turun serba kuning tampil dengan persembahan yang menyakinkan.

    Empat pertukaran itu melibatkan Mohd Shahrul Mohd Saad dan Dominic Tan di bahagian pertahanan, manakala Mohamed Syamer Kutty Abba di bahagian tengah dan Paulo Josue sebagai penyerang tunggal dalam formasi 5-4-1.

    Reaksi Arif Aiman pada perlawanan peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad malam tadi. – Bernama

    Malaysia memiliki peluang terbaik mendahului pada minit ke-16 menerusi gerakan Mohamad Faisal Abdul Halim yang melorongkan bola ke Josue yang gagal menyudahkannya sebelum bola muntah disambar Arif Aiman Mohd Hanapi tetapi rembatannya ditampan keluar penjaga gol Ebrahim Lutfalla.

    Pasukan Malaysia terus mengancam kubu pertahanan lawan dengan Arif Aiman sedikit lewat untuk menyambar hantaran lintang Josue pada minit ke-19 sebelum hantaran lintang pemain pertahanan kanan Matthew Davies dari sebelah kiri gawang sedikit melewati palang pada minit ke-28.

    Gawang Malaysia kemudian cemas seketika apabila pemain tengah Komail Alaswad melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum Dion Cools dan Dominic tampil menyelamatkan keadaan tatkala Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas pada minit ke-31.

    Selepas 45 minit pertama permainan dilihat lebih memihak Malaysia, Bahrain tampil lebih garang pada separuh masa kedua de-ngan tandukan Abdulla Yusuf yang menerima hantaran Alaswad dalam kotak penalti sedikit melewati tiang pada minit ke-56.

    Perlawanan menjadi mendebarkan di penghujung permainan apabila voli Davies dari kiri gawang yang menerima hantaran pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid melambung tinggi pada minit ke-90. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda