KUALA LUMPUR, 9 JAN – Pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon, menyifatkan kejayaan skuad Malaysia melakar keputusan seri 2-2 menentang pasukan 100 terbaik dunia, Syria, pada aksi persahabatan merupakan satu permulaan positif, sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023.
Pan Gon berkata, beliau amat berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya menentang pasukan ranking ke-91 dunia itu pada perlawanan berlangsung secara tertutup di Stadium Grand Hamad di Doha, Qatar awal pagi tadi.
“Di separuh masa kedua walaupun ketinggalan pada awalnya, pasukan kita dapat bangkit dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, anak buahnya layak diberikan pujian memandangkan skuad Malaysia hanya menjalani latihan tanpa sebarang aksi kompetitif sejak sebulan lepas.
Skuad Malaysia yang menduduki ranking ke-130 dunia bermula garang apabila mendahului Syria 1-0 menerusi jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, Syria yang diundi dalam Kumpulan B, bangkit mengatur serangan demi serangan sehingga berjaya meraih dua gol menerusi Pablo Sabbag pada minit ke-70 dan Ibrahim Hesar empat minit kemudian.
Skuad Malaysia yang tidak berputus asa, terus mengatur serangan sebelum Pablo Josue berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78 dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini. – Bernama
