Harimau Muda terus dirundung malang

KUALA LUMPUR, 9 JUN – Selepas kembali dari Sukan SEA 2021 Hanoi, Vietnam, pada bulan lalu dengan tangan kosong, skuad Harimau Muda Malaysia terus dirundung malang dalam Kejohanan Piala Asia U-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan.

Anak buah Brad Maloney berundur awal daripada kejohanan tersebut selepas mereka tersingkir dalam saingan peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka berada di kedudukan paling bawah Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media selepas pasukan muda Malaysia dikalahkan oleh Vietnam 0-2 kelmarin, Maloney mengakui bahawa pasukan itu melalui detik-detik yang amat memeritkan sejak enam minggu lepas, bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu dalam tempoh yang amat singkat.

Bagaimanapun jurulatih yang berasal dari Australia itu percaya bahawa pengalaman yang diraih pasukan muda itu di Uzbekistan akan menguatkan semua 15 pemain muda berkenaan dalam menyediakan diri untuk edisi kejohanan berikutnya.

Mengulas perlawanan dengan Vietnam, beliau berkata insiden penalti dan layangan kad merah terhadap Muhammad Hairiey Hakim Mamat benar-benar mengubah rentak permainan.

“Ya, sudah tentu ia sangat mengecewakan apabila gagal meraih sebarang mata dalam semua perlawanan.” – Bernama