SYDNEY, 29 Mac – Tiga ekor anak harimau Sumatera yang jarang ditemui membuat kemunculan secara terbuka buat kali pertama hari ini, yang menurut para penjaga zoo Sydney ‘kejayaan indah’ bagi masa depan spesies yang amat terancam itu.
Dua ekor anak harimau betina iaitu ‘Mawar’ dan ‘Tengah Malam’ dan seekor lagi bernama ‘Pemanah’ dibenarkan berada di luar sarang tertutup mereka untuk menerokai halaman luar harimau yang lebih semula jadi di Zoo Taronga, Sydney.
Penjaga zoo, Louise Ginman berkata pergerakan dari sarang ke luar bagi anak-anak harimau ini yang lahir pada 17 Januari, adalah sesuatu yang mencabar bagi ibu mereka, Kartika.
Ginman berkata “Kini mereka bergerak di ruang lebih besar dan belajar mendaki rupa bumi, ibu mereka akan lebih sukar lagi untuk mengawal mereka.”
Harimau Sumatera dikelaskan sebagai spesies amat terancam dengan paling sedikit 350 ekor yang masih berada di hutan pulau Sumatera, Indonesia, yang mana habitat semula jadi mereka telah musnah akibat perdagangan haram hidupan liar dan pembersihan hutan bagi penanaman kelapa sawit.
“Kelahiran ini adalah kejayaan indah bagi pemuliharaan spesies rapuh ini, dan saya amat gembira kami kini boleh menjemput tetamu-tetamu untuk mengongsikan kegembiraan kami,” ujarnya lagi.
“Adalah mengejutkan tiga anak harimau kecil ini merupakan satu peratus dari jumlah penduduk liar yang masih ada, tetapi dengan program pemuliharaan zoo di seluruh dunia dan sokongan tetamu kami di Sydney, masih ada harapan bagi masa hadapan spesies ini,” katanya lagi. – AFP
