Hariri dinamakan PM baharu Lubnan

BEIRUT, 22 OKT – Perdana menteri Lubnan tiga kali Saad Hariri dinamakan sebagai calon untuk memegang jawatan perdana menteri untuk kali keempat hari ini dan berjanji akan membentuk kerajaan yang terdiri daripada ahli teknokrat yang komited kepada pelan pembaharuan.

Hariri berkata beliau akan ‘menubuhkan kabinet yang terdiri daripada pakar dengan misi melaksanakan pembaharuan ekonomi, kewangan dan pentadbiran yang terkandung dalam rangka tindakan Perancis.’

“Saya akan berusaha membentuk sebuah kerajaan dengan serta-merta kerana masa sudah kesuntukan dan ia merupakan satu-satunya peluang terakhir yang berdepan negara kami,” tambah beliau.

Presiden Michel Aoun menamakan Hariri untuk membentuk satu kabinet baharu dengan tujuan mengeluarkan negara daripada krisis selepas kebanyakan ahli parlimen menyokong pencalonannya.

Hariri, yang sebelum ini memimpin tiga kerajaan di Lubnan, meletak jawatan hampir setahun lalu di bawah tekanan daripada bantahan ke atas golongan politik.

“Presiden memanggil Saad al-Deen al-Hariri untuk menugaskan beliau dengan pembentukan sebuah kerajaan,” kata jurucakap presiden.

Hariri disokong oleh majoriti 65 penggubal undang-undang, sementara 53 tidak mengundi. – AFP

Bekas perdana menteri Lubnan Saad Hariri menyampaikan ucapan selepas presiden menamakan beliau untuk menubuhkan kabinet baharu, di istana presiden di Baabda, timur ibu negara Beirut kelmarin. – AFP