Sering dirujuk contoh terbaik selebriti yang bercerai tanpa berlaku ‘drama’ sama ada dalam media sosial mahupun mahkamah, pelawak Harith Iskander mementingkan perasaan anak-anak.
Mengakui konflik dilalui sama seperti pasangan lain, namun Harith berkata, dia dan bekas isteri sepakat untuk menyelesaikan segala kekusutan dan kemarahan tercetus sebelum memutuskan berpisah.
“Apa yang berlaku pada rumah tangga kami tidak berlaku dalam satu malam sahaja. Konflik sudah melanda sejak empat, lima tahun lalu.
“Segala ketenangan dilihat ketika kami berada di mahkamah adalah hasil daripada badai yang melanda perkahwinan sepanjang tempoh berkenaan.
“Perselisihan faham tetap berlaku, cuma ia tidaklah sampai menjadi tumpuan media. Kami pastikan, kalau ada pertelingkahan, ia hanyalah setakat itu sahaja dan tidak berlarutan.
“Lagipun, saya ada anak-anak yang semakin membesar. Kalau mereka tak baca pun, pasti kawan-kawan mereka akan tunjukkan berita itu,” katanya kepada BH Online.
Ditanya kehidupan dilalui selepas bergelar duda, pelakon yang mula dikenali menerusi sitkom Jangan Ketawa itu mengakui, semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Jujurnya, saya gembira kerana semuanya berjalan lancar. Saya masih berkawan baik dengan bekas isteri. Kami membesarkan anak bersama dan masih rakan kongsi dalam perniagaan,” katanya. – Agensi