Harris sah calon Naib Presiden AS

WASHINGTON, 20 OGOS – Kamala Harris secara rasmi diumumkan sebagai calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) di Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat, semalam.

Pemilihan calonnya diumumkan oleh tiga saudara perempuan terdekatnya.

Dikenali sebagai ‘Momala’ oleh dua anak tirinya, senator berusia 55 tahun yang juga anak kepada imigran itu melakar sejarah sebagai calon Naib Presiden pertama yang bukan berkulit putih.

Harris adalah wanita berketurunan India dan Jamaica.

Ibunya, Shyamala berhijrah ke AS dari India sebelum menjadi penyelidik kanser yang disegani.

Shyamala bertemu dengan suaminya ketika mereka menyertai demonstrasi hak sivil di Berkeley, California.

Harris dalam ucapannya berkata, beliau tidak pernah menyangka akan berdiri pada acara berkenaan untuk dicalonkan sebagai Naib Presiden.

“Ketika ibu saya melahirkan saya di Oakland, dia mungkin tidak pernah membayangkan bahawa saya akan berdiri di depan anda semua dan berkata, ‘Saya menerima pencalonan sebagai Naib Presiden AS’,” katanya.

Harris berucap di bilik konvensyen di Wilmington, Delaware yang menjadi ibu pejabat kepada kempen calon presiden mewakili Parti Demokrat, Joe Biden. – AFP