Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harrison silap nilai hubungan peminat-Doncic

    DALLAS, 22 APRIL – Pengurus Besar Dallas Mavericks, Nico Harrison mengakui tersilap menilai tahap kecintaan peminat terhadap Luka Doncic sebelum membuat keputusan kontroversi menukarnya dengan Anthony Davis dari Los Angeles Lakers.

    Walaupun menerima kecaman berterusan sepanjang dua bulan setengah lalu, Harrison tetap mempertahankan pertukaran tersebut sebagai langkah strategik membina pasukan pencabar kejuaraan.

    “Saya tahu Luka penting kepada peminat, tetapi tidak menyangka mengasihinya sedalam itu,” kata Harrison dalam sidang media akhir musim semalam.

    Harrison percaya kritikan terhadap pertukaran itu mungkin reda lebih awal jika Davis sempat beraksi bersama Kyrie Irving, Klay Thompson, PJ Washington dan Dereck Lively II.

    Malangnya, lima pemain itu belum pernah turun beraksi bersama.

    Nico Harrison ketika memerhati sesi pemanasan badan sebelum perlawanan bola keranjang NBA Dallas Mavericks menentang Los Angeles Lakers di Dallas, pada 9 April. – AP

    Davis hanya sempat bermain kurang daripada tiga suku masa bersama Irving sebelum mengalami kecederaan pangkal paha. Irving pula terpaksa menamatkan musim selepas mengalami koyakan ACL pada lutut kiri.

    “Kami yakin itu pasukan berkaliber kejuaraan. Jika mereka cergas, kami akan menang lebih banyak dan reda sedikit kemarahan peminat,” ujarnya.

    Ketika Davis berehat, Mavericks hampir tidak cukup pemain untuk memenuhi syarat minimum perlawanan NBA. Namun sebaik Davis kembali, Dallas bangkit dan layak ke tempat ke-10 untuk play-in Western Conference, sebelum tewas kepada Memphis dalam perebutan slot kelapan.

    Harrison optimis dengan pilihan ke-11 dalam draf akan datang dan tidak menolak perubahan dalam pasaran ejen bebas.

    “Yang kami perlukan hanyalah pemain cergas. Kami yakin pasukan ini mempunyai potensi kejuaraan. Kyrie dijangka kembali musim depan dan kami percaya kami akan bersaing merebut kejuaraan,” katanya.

    Mengulas reaksi Doncic yang menyifatkan kenyataan Harrison sebagai ‘menyedihkan’, Harrison berkata, “Saya pun rasa perkara sama. Saya tidak pernah buruk-burukkan Luka. Kini tiba masanya untuk terus mara bersama pasukan yang ada.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda