Wednesday, April 2, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harrods tubuh dana pampasan mangsa serangan seksual

    LONDON, 1 APR – Gedung membeli-belah mewah Harrods mengumumkan kelmarin penubuhan dana pampasan bagi membantu puluhan wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh bekas pemiliknya, Mohamed Al-Fayed.

    Menurut kenyataan rasmi Harrods, wanita yang telah tampil dengan dakwaan terhadap jutawan kelahiran Mesir itu, yang meninggal dunia pada 2023 pada usia 94 tahun, boleh menerima pampasan sehingga £385,000 (AS$500,000) menerusi skim berkenaan.

    “Walaupun tiada apa yang boleh mengubah penderitaan yang dialami mangsa, Harrods mahu memastikan semua individu yang layak menerima pampasan ini,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi gedung itu.

    Orang ramai beratur di luar gedung Harrods menjelang pembukaannya, di London, pada 22 Disember 2024. – AFP

    Skim pampasan itu terbuka kepada individu yang mempunyai ‘hubungan yang cukup rapat’ dengan gedung berkenaan atau dengan peranan Al-Fayed di situ, tanpa perlu menjadi bekas pekerja Harrods.

    Sejak penyiaran dokumentari BBC pada September lalu yang membongkar dakwaan rogol dan serangan seksual terhadap Al-Fayed, semakin ramai wanita tampil dengan dakwaan serupa. Antaranya, seorang wanita mendakwa dia diserang ketika berusia 16 tahun.

    Bagi mereka yang ingin mengemukakan tuntutan melalui dana ini, permohonan mesti dibuat sebelum 31 Mac 2026. Jumlah pampasan yang ditawarkan akan bergantung kepada tahap penderitaan dialami mangsa. Misalnya, wanita yang dipaksa menjalani pemeriksaan ginekologi intrusif bagi mengesahkan status keperawanan atau penyakit kelamin boleh menuntut pampasan sebanyak £10,000.

    Selain itu, semua pemohon akan menerima permohonan maaf rasmi daripada pihak Harrods. Bagaimanapun, wanita yang enggan menjalani pemeriksaan psikologi akan menerima jumlah pampasan yang lebih rendah.

    Menurut Harrods, penerimaan pampasan daripada dana itu akan dianggap sebagai “penyelesaian penuh dan muktamad”, sekali gus menghalang pemohon daripada mengambil tindakan undang-undang selanjutnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda