MEXICO CITY, 21 FEB – Harry Hall dari England mencatatkan satu eagle dan lima birdie dengan tujuh-bawah-par 64, kelmarin untuk berkongsi kedudukan teratas dalam Kejohanan Terbuka Mexico Jelajah PGA bersama Kris Ventura dan Jeremy Paul.
Hall, yang memenangi gelaran Jelajah AS satu-satunya melalui play-off lima pemain di ISCO Championship di Kentucky pada Julai lalu, menghasilkan aksi tanpa bogey dalam keadaan cuaca tenang di resort VidantaWorld berhampiran Puerta Vallarta.
Pemain itu cuba memperbaiki dua kedudukan 10 terbaiknya pada awal tahun ini di The Sentry dan Terbuka Sony di Hawaii.
“Saya bermain dengan sangat hebat,” kata pemain berusia 27 tahun itu. “Harapnya saya boleh melakukan banyak seperti itu.”
Paul, pemain berusia 30 tahun dari Jerman yang lulus dari jelajah perkembangan Korn Ferry, turut bermain pada awal hari dan mencatatkan dua eagle, empat birdie dan satu bogey dalam skor 64 beliau.
Ventura, pemain Norway yang dilahirkan di Mexico dan tinggal di sana sehingga berusia 12 tahun, bertarung melalui cuaca berangin pada petang untuk berkongsi kedudukan teratas.
Hall memulakan permainan di lubang ke-10 dan birdie di lubang ke-14, ke-16 dan ke-18 – di mana pukulan tee-nya terlempar jauh ke kiri melampaui laluan kereta golf tetapi dia berjaya meletakkan pukulan keduanya 15 kaki dari lubang.
Selepas birdie 19 kaki di lubang keempat, Hall membuat eagle dengan hole-in-one dari luar padang di lubang par-lima keenam. Dia kemudian mencapai green dengan pukulan tee di lubang par-empat ketujuh untuk birdie dua-putt. – AFP
