Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harry Kane ledak dua gol, England sah layak ke Piala Dunia 2026

    PARIS, 15 OKT – Harry Kane berjaya menjaringkan dua gol ketika England menentang Latvia 5-0 kelmarin bagi mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2026, manakala Portugal yang diketuai oleh Cristiano Ronaldo terpaksa menunggu selepas diikat Hungary.

    Pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu tidak berdepan masalah menewaskan Latvia di Riga untuk mencatat enam kemenangan daripada enam perlawanan dalam Kumpulan K dan memastikan kedudukan teratas sebelum dua perlawanan terakhir bulan depan dan mereka kini mengumpul 18 mata dengan kelebihan tujuh mata yang tidak dapat dipintas oleh Albania di tempat kedua.

    Anthony Gordon membuka jaringan sebelum Kane menyempurnakan satu percubaan tajam dan kemudian menambah satu lagi menerusi sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama.

    Manakala, penyerang Bayern Munich itu kini menjaringkan 21 gol dalam 13 perlawanan musim ini bersama kelab dan negaranya.

    Maksims Tonisevs menjaringkan gol sendiri dan Eberechi Eze menambah gol kelima, sekali gus membolehkan England menantikan undian bagi pusingan akhir tahun depan pada Disember ini.

    “Ia jarang berlaku untuk layak ke Piala Dunia, jadi suasana pasukan kini sangat-sangat baik,” kata Tuchel.

    Semua 12 juara kumpulan di Eropah layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala naib juara kumpulan akan beraksi dalam pusingan playoff.

    Serbia hanya ketinggalan satu mata di belakang Albania selepas bangkit menewaskan Andorra 3-1.

    Guillaume Lopez memberikan kelebihan kepada Andorra menerusi satu rembatan menakjubkan dari tengah padang yang melambung melepasi penjaga gol Serbia, Djordje Petrovic.

    Gol yang dijaringkan oleh Christian Garcia menyamakan kedudukan sebelum Dusan Vlahovic menanduk masuk gol kedua Serbia dan Aleksandar Mitrovic menyempurnakan penalti untuk memastikan kemenangan.

    Manakala, Portugal hampir mengesahkan tempat mereka apabila mendahului Hungary 2-1 pada masa kecederaan di Lisbon, dengan kemenangan bakal mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan F. – AFP

    Harry Kane (tengah) beraksi dalam perlawanan kelayakan Kumpulan K Piala Dunia 2026 antara Latvia dan England di Riga, Latvia pada 14 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda