LOS ANGELES, 24 JULAI – Putera Harry dan Meghan Markle memfailkan saman di mahkamah di sini terhadap seorang atau lebih paparazi yang didakwa mengambil gambar anak lelaki mereka tanpa kebenaran.
“Pasangan itu mendakwa ada seseorang yang cuba menjual gambar anak mereka yang berusia 14 bulan, Archie tanpa kebenaran.
“Pihak berkenaan mendakwa gambar itu diambil ketika keluarganya berada di Malibu,” kata peguam kepada pasangan berkenaan kepada AFP.
Menurutnya, anak itu tidak pernah berada di khalayak umum sejak mereka tiba di California, apatah lagi di Malibu.
Justeru, pasangan itu mendakwa paparazi berkenaan mencabuli privasi mereka apabila merakamkan foto berkenaan yang didakwa diambil di belakang kediaman mereka.
Saman itu bagaimanapun difailkan tanpa menamakan mana-mana individu.
Perbuatan paparazi itu dikatakan menyalahi undang-undang California yang tidak membenarkan pihak lain mengambil gambar seseorang di kediaman mereka, meskipun dari luar bangunan.
Peguam pasangan itu berkata, Harry dan Meghan memfailkan saman berkenaan bagi melindungi privasi dan keselamatan anak mereka.
“Ia juga bagi mengelak sesetengah pihak daripada mengambil keuntungan atas aktiviti haram berkenaan,” katanya. – AFP
