Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hars Elite julang Piala BPFL

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Pasukan Hars Elite dinobatkan sebagai juara kejohanan Liga Premier Futsal Brunei (BPFL) 2024/2025 setelah memperoleh kelebihan satu jaringan dengan pasukan MS PPDB yang berkongsi 19 mata di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

    Perlawanan terakhir liga kejohanan itu berjaya menampilkan persembahan menarik daripada kedua-dua pasukan yang berakhir dengan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 4-4.

    Namun, Hars Elite berjaya menjulang Piala BPFL selepas mengutip kelebihan jumlah jaringan untuk meleburkan harapan tinggi MS PPDB yang menjadi naib juara.

    “Kejayaan Hars Elite ini merupakan hasil sumbangan dan kerjasama semua pemain dan pihak pengurusan serta kejurulatihan yang padu sebagai tulang belakang pasukan sepanjang liga berlangsung. Kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan,” jelas Pengurus Am Pasukan Hars Elite, Harrez Irsyadi Harun.

    Beliau mengakui walaupun pasukannya merupakan nama baharu dalam kejohanan futsal kebangsaan namun barisan pemain-pemain memiliki pengalaman yang luas dan berpotensi tinggi yang boleh memberi saingan dan cabaran kepada pasukan-pasukan dalam kumpulan BPFL.

    Pengiran Zamri bergambar ramai bersama Pasukan Hars Elite di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN BPFL
    GAMBAR SERAHAN BPFL
    GAMBAR SERAHAN BPFL
    GAMBAR SERAHAN BPFL

    Sebagai perancangan seterusnya, Harrez Irsyadi Harun menjelaskan kelab berkenaan kini dalam fasa menambah baik struktur pasukan dan mencari pemain-pemain yang lebih berkualiti untuk bersaing dalam pentas kumpulan elit pada musim depan.

    Pasukan Hars Elite yang menjuarai kejohanan BPFL telah menerima trofi, pingat dan cek berupa wang tunai sejumlah $3,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hitune, Pengiran Zamri Pengiran Haji Bujang.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Hitune, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey menyampaikan hadiah kepada pasukan MS PPDB selaku naib juara.

    Pasukan PES yang menduduki tempat ketiga kejohanan menerima hadiah yang disampaikan oleh Ahli EXCO Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD), Hajah Noor Monasaliena Haji Mohd Salleh.

    Majlis juga menyaksikan Anugerah Fair Play telah dimenangi oleh pasukan MS SSBD yang disampaikan oleh Setiausaha Agung FABD, Ahmad Za’eem bin Omarali.

    Manakala Anugerah Penjaga Gol Terbaik telah diberikan kepada penjaga gol MS PPDB, Khairul Anwar Haji Hamidon dan pemain pasukan Hars Elite, Maziri Maidin dipilih selaku Pemain Terbaik kejohanan, sementara Nur Yamin Haji Muhammad dari pasukan MS PPDB menerima Anugerah Penjaring Terbanyak.

    BPFL 2024/2025 telah dianjurkan oleh Liga Bola Sepak Yakin yang disokong oleh FABD dan telah disertai oleh lapan pasukan yang menjadi medan bagi melahirkan pemain berpotensi di samping me-ningkatkan daya saing pasukan futsal di peringkat kebangsaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda