Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Pasukan Hars Elite menguasai pentas Liga Premier Futsal Brunei (BPFL) 2024-2025 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan, sekali gus mengungguli carta kedudukan teratas liga dengan 18 mata.
Kejayaan pasukan Hars Elite mencalar rekod bersih PES dengan kemenangan 6-2 telah menghampiri lagi langkah sasaran pasukan elit kumpulan BPFL itu untuk merangkul kejuaraan sulung edisi 2024-2025.
Namun, hasrat pasukan Hars Elite untuk menjulang Piala BPFL buat julung kalinya nampak mencabar apabila terpaksa menguji kehebatan pasukan MS PPDB yang juga memiliki rekod tanpa kalah pada perlawanan terakhir mereka.
“Situasi kedudukan ketika ini memberikan peluang terbaik kepada pasukan Hars Elite, tetapi pasukan kami perlu bermain lebih mantap pada perlawanan terakhir untuk meraih kemenangan dan seterusnya menjulang Piala BPFL bagi edisi pertama ini,” jelas Pengurus Am Hars Elite, Harith Irsyadi Harun, sambil menyifatkan pertemuan dengan pasukan MS PPDB minggu ini ibarat ‘buku dengan ruas’.
Menurutnya, perlawanan berkenaan memang berbeza daripada perlawanan sebelumnya dan beliau mengakui pasukan MS PPDB juga mempunyai kemampuan tersendiri untuk mencapai matlamat mereka.
“Apa yang pasti, dalam perlawanan terakhir ini, para pemain mempunyai tekad untuk mempamerkan mutu permainan futsal yang berkualiti tinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, pasukan MS PPDB perlu berhati-hati apabila terlebih dahulu melayani pasukan PES sebelum bertemu pasukan Hars Elite.
MS PPDB juga perlu mengatur langkah lebih konkrit supaya tidak tergugat oleh kebangkitan pasukan PES yang berusaha membuka peluang kembali merebut gelaran pada saat akhir.
Secara matematiknya, perebutan sang juara masih terbuka kepada pasukan Hars Elite, MS PPDB dan PES yang akan bergantung kepada keputusan perlawanan masing-masing hujung minggu ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-3_11022025.jpg)