Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Harta hasil kegiatan dadah dilucutkan hak

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Mahkamah Tinggi telah membenarkan perintah pelucutan hak tanpa sabitan di bawah Seksyen 83(1) Perintah Pemulihan Aset Jenayah, 2012 (CARO), yang secara efektif merampas harta dikaitkan dengan aktiviti pengedaran dadah.

    Perintah mahkamah itu didedahkan baru-baru ini, susulan penahanan Rosman bin Awang Damit oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) pada Januari 2022 kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

    Semasa penahanan dan siasatan seterusnya, BKN merampas beberapa aset yang dipercayai hasil jenayah, termasuk Ford Ranger, Hyundai Tucson dan dua bot berukuran 13 kaki dengan enjin Yamaha.

    Selain itu, kira-kira $7,800 dalam bank tempatan dan wang tunai berjumlah $8,000 turut dirampas.

    Responden, Rosman yang mengaku pernah terlibat dalam pengedaran dadah, mengakui aktiviti-aktiviti terlarang itu menjana pendapatan besar, sebahagian daripadanya digunakan untuk memperoleh aset-aset yang dirampas.

    Gambar Envato

    Siasatan BKN seterusnya mengesahkan bahawa Rosman tidak mempunyai sumber pendapatan yang sah untuk mewajarkan pemilikan harta-harta tersebut.

    Semasa perbicaraan, Rosman tidak membantah permohonan pelucutan hak yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Abdul Latiff dan Pendakwa

    Raya Ruzana Adnan, yang mewakili kerajaan dalam permohonan itu.

    Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal PDJLD DSP Haji Kefli seterusnya mengisytiharkan harta yang dirampas sebagai harta tercemar dan mengarahkannya dilucutkan hak kepada kerajaan Brunei.

    Semua jumlah yang dirampas akan dipindahkan ke Dana Penyitaan Aset Jenayah, yang ditubuhkan di bawah CARO.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda