BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sempena Minggu Penguatkuasaan Harta Intelek yang disambut setiap tahun oleh negara-negara anggota ASEAN di bawah naungan The ASEAN Network of Intellectual Property Enforcement Experts (ANIEE), Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) telah menganjurkan seminar Penguatkuasaan Harta Intelek mengenai Barangan Tiruan: Kesihatan dan Keselamatan yang diadakan di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah-mahkamah, kelmarin.
Seminar itu bertujuan untuk berkongsi dengan para usahawan dan perseorangan, khususnya daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mengenai tindakan yang perlu diambil apabila berdepan dengan isu penjualan barangan tiruan yang menjejaskan barangan atau perkhidmatan mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Peguam Negara dan Pendaftar Tanda Perniagaan, Paten dan Reka Bentuk Perindustrian, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib.
Dalam ucaptama, Yang Berhormat Datin berkata walaupun bilangan kes pendakwaan berkaitan harta intelek yang melibatkan produk tiruan masih rendah berbanding dengan bidang kuasa lain, usaha untuk meningkatkan kesedaran, kewaspadaan dan kesiapsiagaan penguatkuasaan masih perlu diperkukuhkan. Ia memerlukan tanggungjawab kolektif dari agensi kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.
Beliau menekankan menjadi tanggungjawab bersama untuk terus berwaspada dan memastikan Negara Brunei Darussalam kekal sebagai pasaran yang selamat bagi pengguna dan persekitaran yang adil bagi perniagaan yang sah.
Sementara itu, penceramah daripada BruIPO, Bahagian Keadilan Jenayah di Pejabat Peguam Negara serta penceramah jemputan daripada Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Perlindungan Pengguna, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Persatuan Undang-undang telah menyampaikan pembentangan bagi membincangkan isu penjualan barangan dan perkhidmatan tiruan di Negara Brunei Darussalam selain meningkatkan pemahaman para peserta mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap barangan tiruan.
Acara tersebut menghimpunkan kira-kira 100 peserta daripada agensi kerajaan dan sektor perundangan, sekali gus memperkukuh komitmen BruIPO untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan kerjasama yang lebih erat dalam melindungi hak harta intelek dan kesejahteraan orang ramai, khususnya apabila berdepan dengan isu penjualan barangan tiruan yang menjejaskan barangan atau perkhidmatan mereka.


