Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Perbicaraan kes Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin diteruskan lagi hari ini di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Hakim Gareth Lugar-Mawson mendapati ke-dua-dua tertuduh mempunyai kes untuk dijawab bagi kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram dan meminta mereka untuk membela diri.
QC Simon Farrell memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya, Ramzidah memilih untuk berdiam diri tetapi Haji Nabil pula memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.
Haji Nabil dalam keterangannya berkata, mereka mempunyai hubungan rapat dengan keluarga daripada kedua-dua belah pihak dan mereka kerap menerima bantuan kewangan yang besar daripada kedua-dua belah keluarga.
Daripada setiap keluarga, mereka menerima sekurang-kurangnya $1,000 dan paling banyak antara $4,000 hingga $5,000 setiap bulan.
Kerjaya bapa Haji Nabil bermula sebagai seorang penjawat awam sehingga menjadi pegawai atasan kerajaan, yang mana Haji Nabil menyifatkan bapanya seorang yang murah hati kepada semua cucu-cucunya. Haji Nabil menerima elaun pendidikan sebanyak $800 daripada kerajaan Brunei untuk membiayai pendidikan anak-anaknya.
Bapa kepada Haji Nabil juga memberi wang untuk membayar sekolah anak-anak di Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Antarabangsa Jerudong.
Dua buah kereta yang disita oleh Biro Mencegah Rasuah adalah didaftarkan di bawah nama Haji Nabil tetapi digunakan oleh ahli keluarga yang lain.
Kereta-kereta ini dibayar melalui pinjaman bank dan bayaran bulanannya dibuat oleh bapa kepada Haji Nabil.
Haji Nabil turut menyifatkan keluarga mertuanya adalah golongan kaya dan mempunyai harta serta perniagaan.
Selepas kedua-dua tertuduh pulang ke Brunei pada 1997 selepas pengajian di London, mereka tinggal bersama ibu bapa Ramzidah.
Ibu-bapanya turut membantu menjaga dan menyara anak-anak kedua-dua tertuduh sehingga pertengahan tahun 2017 apabila mereka memutuskan untuk menyewa sebuah rumah kerana anak perempuan mereka akan pulang dari London.
Bayaran sewa bagi rumah itu adalah $2,000 sebulan.
QC Simon Farrell kemudian menanyakan Haji Nabil mengenai arwah abang iparnya yang tinggal di Thailand.
Menurut Haji Nabil, arwah abang iparnya mempunyai perniagaan kereta limousin dan merupakan seorang pelabur dalam sebuah syarikat Amerika Syarikat di Thailand.
Arwah abang iparnya mempunyai gaya hidup yang mewah, tinggal di kondominium mewah di Bangkok dan juga rumah percutian di Pattaya.
Seingat Haji Nabil, arwah abang iparnya turut memberikan hadiah berbentuk wang tunai kepada Ramzidah, biasanya disimpan dalam sampul surat dan dia tidak tahu jumlah yang diberikan.
Arwah abang iparnya telah memberi Ramzidah kira-kira $2 hingga $3 juta, dan juga beg tangan sepanjang tempoh kira-kira 12 tahun. Haji Nabil menganggap dirinya sebagai seorang yang beragama dan jujur. Dia membayar harta zakatnya setiap tahun untuk akaun bersama dan akaun anaknya.
Dia telah membayar selama setahun antara $5,000 hingga $17,000 dan tahu bahawa menggunakan wang hasil daripada jenayah untuk membayar zakat adalah dosa besar.
Haji Nabil masih mengekalkan jawapannya yang dia tidak tahu isterinya ada mengeluarkan wang tunai daripada akaun Penerima Rasmi, dan dia juga langsung tidak mengetahui bahawa wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun bersama dan untuk membayar kereta adalah hasil jenayah.
Dia malah mempercayai bahawa wang yang diberikan oleh Ramzidah itu adalah daripada arwah abang iparnya dan juga daripada wanita warga Malaysia.
Haji Nabil mengakui telah memasukkan satu keping nota $10,000 ke dalam akaun bersama pada 28 November 2014 yang didakwanya merupakan hadiah hari jadi daripada isterinya.
Menurut kes pembelaan, Haji Nabil tidak berada di syarikat ejen kereta semasa pembayaran dibuat bagi sebuah kereta mewah pada 5 November 2014. Hanya Ramzidah yang pergi ke syarikat ejen kereta itu untuk membuat pembayaran $40,000 dalam bentuk nota $10,000. Haji Nabil mengatakan yang dia memang telah membayar wang pendahuluan sebanyak $10,000 tetapi tidak mempunyai rancangan untuk mendaftar atau membayar kereta itu sehingga tahun berikutnya.
Pada hari tersebut, katanya tidak mungkin dia berada di syarikat ejen kereta tersebut kerana ketika itu dia mendengar perbicaraan jenayah di mahkamah. Dia bagaimanapun masih mengekalkan jawapannya dengan mendakwa kereta itu adalah hadiah daripada isterinya.
Perbicaraan dihentikan dan disambung lagi esok, 31 Oktober untuk QC Jonathan membuat pemeriksaan balas terhadap Haji Nabil.