Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hartawan hartanah Vietnam dipenjara seumur hidup

    BANDAR HO CHI MINH, 17 OKT – Seorang hartawan hartanah Vietnam yang dijatuhi hukuman mati kerana penipuan berjumlah AS$27 bilion telah dipenjarakan seumur hidup hari ini selepas disabitkan kesalahan pengubahan wang haram.

    Truong My Lan didapati bersalah April lalu kerana menipu sejumlah wang tunai daripada Saigon Commercial Bank (SCB) dan dijatuhi hukuman mati dalam salah satu kes rasuah terbesar dalam sejarah negara itu.

    Berpuluh-puluh ribu orang yang telah melaburkan simpanan mereka di bank telah kehilangan wang. Tiga panel juri yang dipilih sendiri dan dua hakim hari ini telah memutuskan Lan didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram bernilai AS$17.7 bilion dan pemerdagangan wang tunai rentas sempadan secara haram bernilai AS$4.5 bilion. Di samping itu, dia juga didapati bersalah atas penipuan bon berjumlah AS$1.2 bilion.

    Mahkamah memutuskan Truong My Lan sebagai dalang, melakukan jenayah itu dengan kaedah yang canggih secara berkali-kali dan menimbulkan masalah yang serius… jadi dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tiga jenayah.

    Kira-kira 33 defendan lain turut dijatuhkan hukuman di mahkamah di Bandar Ho Chi Minh, dan dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 23 tahun.

    Antaranya ialah suami Lan, dipenjarakan selama dua tahun kerana pengubahan wang haram, dan anak saudara perempuannya, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana penipuan pengagihan harta. – AFP

    Lan (tengah) semasa menunggu untuk perbicaraan di mahkamah di Bandar Ho Chi Minh pada 17 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda