Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Seorang bapa berusia 52 tahun dijatuhi hukuman 24 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas kesalahan merogol anak kandungnya.
Hukuman terhadap tertuduh yang menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah atas enam pertuduhan merogol anaknya dalam enam kejadian berasingan antara Januari 2016 dan 7 Mei 2017 itu dibuat Hakim Dato Paduka Steven Chong.
Untuk tuduhan pertama dan kedua, tertuduh merogol mangsa di tempat kerjanya, tuduhan ketiga di sebuah pulau, tuduhan keempat dan kelima di dalam botnya dan tuduhan keenam di bilik tidur kediaman mereka.
Tertuduh melakukan perbuatan keji itu ketika mangsa berusia 11 tahun sehingga ke usia 13 tahun.
Tertuduh turut mengancam akan mencederakan mangsa sehingga mati jika mangsa memberitahu ibunya, mengancam untuk meninggalkan mangsa di tempat kejadian jika mangsa enggan memenuhi kehendaknya dan telah mencekik leher, menampar bahagian belakang badan mangsa dan membaling botol ke arah mangsa.
Perbuatan keji tertuduh hanya terbongkar apabila mangsa melarikan diri dari rumah dan pergi ke rumah emak saudaranya.
Ketika berada di rumah ibu saudaranya, mangsa terus memberitahu insiden yang berlaku kepada sepupunya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibunya (ibu saudara mangsa).
Sebaik mendengar apa yang diberitahu mangsa, ibu saudaranya terus memberitahu perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan polis.
Mangsa memberitahu dia telah dirogol beberapa kali oleh bapanya dan dia juga telah diugut untuk tidak memberitahu sesiapa.
Hakim Dato Paduka Steven ketika menjatuhkan hukuman berkata, perbuatan tertuduh merupakan jenayah keji oleh seorang bapa terhadap anaknya dan apa yang membimbangkan ialah tertuduh sebelum ini pernah dijatuhi 18 tahun penjara dan 18 sebatan pada tahun 2004 atas kesalahan merogol dan melakukan kekerasan seksual terhadap dua lagi anaknya yang lain namun hukuman itu dikurangkan kepada 14 tahun penjara dan 15 sebatan oleh Mahkamah Rayuan.
Selepas meneliti keseluruhan enam pertuduhan tersebut, hakim menjatuhkan titik permulaan 30 tahun penjara namun mengurangkannya kepada 24 tahun penjara apabila tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Tertuduh yang berusia 50 tahun ke atas itu bagaimanapun terlepas daripada hukuman sebat.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.