Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Haruan makan anak’ kena penjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Mahkamah Perantaraan kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat kali sebatan ke atas seorang lelaki tempatan, 43, yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan penderaan seksual terhadap anak perempuannya sendiri dan seorang anak saudara perempuannya.

    Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan bagi melindungi mangsa, melakukan kesalahan dengan mencabul mangsa di rumah mereka. Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail memutuskan hukuman selepas memberi pertimbangan faktor yang memburukkan kes.

    “Mahkamah akan terus melihat jenis serangan seksual ini sebagai kelakuan keji dalam masyarakat dan hukuman harus mencerminkan keseriusan kesalahan itu, dan menghalang tertuduh daripada mengulangi kesalahan serta menghalang orang lain melakukan perkara yang sama,” jelas hakim.

    Mahkamah juga mengambil kira fakta bahawa defendan tidak menyatakan kekesalan terhadap perbuatannya dan beralasan bahawa ia adalah disebabkan kekurangan layanan isterinya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi mendedahkan bahawa isteri defendan telah berpindah ke rumah ibu bapanya sejak bulan Jun, meninggalkan defendan dan enam
    anaknya di rumah keluarga itu.

    Pihak pendakwaan seterusnya mendedahkan bahawa kejadian pada 2020 adalah terhadap anak saudara defendan berusia 15 tahun, yang mengadu kepada isterinya tentang apa yang berlaku, di mana defendan hanya menafikannya.

    Anak saudara defendan sedang bermalam di rumah mereka pada ketika itu.

    Antara Januari dan Februari, defendan melakukan kesalahan itu terhadap anak keduanya berusia 17 tahun, yang turut mengadu kepada isterinya.

    Defendan menafikan mengingatinya dan berkata dia mabuk ketika itu.

    Pada 28 Oktober, defendan melakukan penderaan seksual terhadap anak keempatnya, berusia 15 tahun. Ini mendorong anak itu membuat laporan polis apabila dia melarikan diri dari rumah sejurus kejadian itu untuk memberitahu rakan di kawasan kejiranan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda