Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haruman Bunga Melur dari Ladang Mesir

    SHUBRA BELOULA, MESIR – Pada waktu tengah malam, Eman Mehanna memasang lampu besar dan memulakan kerja hariannya memetik bunga melur, tatkala bau semerbak dihembus angin merentasi seluruh ladang di Delta Nil di Mesir.

    Rantau Gharbiya di Mesir ialah pusat petikan bunga melur. Minyak aroma harum diekstrak untuk dijadikan minyak wangi dari sini menyumbang lebih separuh daripada bekalan global, menurut angka perniagaan antarabangsa.

    “Kami telah memetik bunga melur sejak kami masih kecil lagi,” kata Mehanna, mengumpul bunga tersebut dengan tangan di kampung Shubra Beloula, kira-kira 100 kilometer dari utara ibu negara Kaherah.

    Kelopak bunga putih, dipetik dari deretan rimbun tebal ‘melur diraja’ setinggi paras dada – Jasminum grandiflorum – memenuhi bakul anyamannya.

    Semasa musim memetik dari bulan Jun hingga November, aktiviti memetik bermula pada tengah malam dan berakhir beberapa jam selepas subuh setiap hari.

    Seorang pekerja memindah bunga melur yang dipetik ke dalam bakul anyaman di sebuah ladang di kampung Shubra Beloula di wilayah delta Nil Gharbiya, Mesir. – AFP
    Pekerja memunggah bakul yang penuh dengan bunga melur dipetik di sebuah gudang di kampung Shubra Meloula, wilayah Gharbiya. – AFP

    Ia merupakan satu pekerjaan yang sukar, tetapi seorang pemetik yang rajin boleh memetik sebanyak lima kilogram bunga melur sehari.

    Sementara ia lebih dingin untuk bekerja pada waktu malam, sebab utama kerja-kerja memetik dilakukan pada malam adalah kerana bunga hanya berkembang sepenuhnya pada masa itu.

    “Anda benar-benar perlu memberikan tumpuan untuk mencari bunga yang sedang mekar,” kata Mehanna. “Kami meninggalkan bunga yang kelopaknya masih tutup untuk keesokan hari.”

    Selepas subuh, beliau menukar lampu di kepala dengan topi untuk melindungi dirinya daripada cahaya matahari yang panas terik.

    Mesir dan India menguasai penghasilan ekstrak bunga melur untuk dijadikan minyak wangi, membentuk kira-kira 95 peratus daripada bekalan, menurut Persekutuan Perniagaan Minyak Pati dan Aroma Antarabangsa (IFEAT).

    Perniagaan bunga melur dianggarkan mencecah kira-kira AS$6.5 juta se-tahun di Mesir, menyediakan pendapatan kepada kira-kira 50,000 orang, kata IFEAT.

    Di Mesir, lebih daripada 90 peratus ladang bunga melur terletak di kawasan Gharbiya, yang kaya dengan galian dan air Sungai Nil, sejurus sebelum sungai itu sampai ke Laut Mediterranean.

    Perladangan bertumpu di daerah Qutur, tempat terletaknya kampung Shubra Beloula, dan Basyoun, terkenal sebagai tempat kelahiran bintang bola sepak Mesir dan Liverpool Mohamed Salah.

    Di sebelah jalan berhabuk adalah ladang hijau subur yang dipenuhi dengan bunga warna putih.

    Pada awal pagi, pemetik meletakkan bakul-bakul mereka ke dalam tong, yang seterusnya disusun tinggi dalam trak dan dibawa untuk diproses.

    Kilang minyak pati The Fakhry mengendali kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran bunga di rantau itu.

    Salah satu langkah pertama dalam proses adalah memampatkan dan mengisar bunga tersebut.

    Daripada pes berkenaan, minyak harum boleh dikeluarkan menerusi penyulingan.

    “Ia adalah kilang minyak pati pertama yang didirikan di Mesir,” beritahu pengurus kilang Badr Atef kepada AFP, tatkala beliau menyelia kerja-kerja menimbang dan penyerahan tong yang dipenuhi kelopak bunga.

    Bau bunga adalah amat kuat.

    Menurut Atef, pemilik kilang Ahmed Fakhry mendapat inspirasi untuk mengerjakan ladang bunga melur apabila, sebagai seorang pelajar muda pada tahun 1960, beliau melawat bandar Grasse, tempat kelahiran minyak wangi Perancis, di Cote d’Azur.

    Apabila kembali ke Mesir, Fahkry memperkenalkan pengetahuan minyak wangi baharunya dan menubuhkan perladangan dan pemprosesan bunga melur komersial.

    “Sekarang 20 tan bunga melur dipetik sehari’ di Mesir, kata Atef, menganggarkan kira-kira 400 hektar tumbuhan berbau harum itu diusahakan di rantau Gharbiya.

    Daripada kesemua bunga tersebut, kira-kira lima tan pes melur dihasilkan akhirnya pada setiap tahun.

    Peladang Mesir telah lama mengadu bahawa kos penghasilan yang rendah dari pesaing besar mereka, India, mendorong harga menurun.

    Namun impak pandemik koronavirus ke atas ekonomi adalah lebih teruk, dengan permintaan merosot mendadak, kata petani.

    Memetik bunga adalah kerja yang menjerihkan.

    “Berdiri di bawah cahaya matahari terik selama beberapa minit, anda akan melihat betapa susahnya kerja ini,” kata pemetik berusia 60 tahun, Waafa, yang enggan memetik bunga pada tahun ini disebabkan harganya terlalu rendah.

    Walaupun pada tahun yang bagus, sesetengah pemetik memperoleh beberapa dolar sehari untuk kerja berjam-jam lamanya, pendapatan yang dikecam oleh Waafa sebagai ‘tak berpada.’

    “Segala-galanya adalah mahal sekarang,” kata beliau.

    Namun yang lainnya berkata musim memetik bunga melur adalah masa yang menyeronokkan untuk mereka.

    “Rasa manis apabila kami semua memetik bersama,” kata Mahanna. “Kami bertukar cerita dan berseronok.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda