Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haruman mawar selubungi Bandar Albania

    PERMET – Di Permet, sebuah bandar indah di Lembah Vjosa yang menakjubkan di selatan Albania, mawar menjadi raja — sama ada digunakan untuk membuat minyak wangi, air berperisa atau manisan Turkish delight yang digemari ribuan pelancong pencinta manisan.

    “Di sini, segala-galanya berkisar pada mawar – daripada masakan hinggalah kegunaannya dalam perubatan,” seloroh guru biologi Ariana Nikolla, sambil berkata semuanya dilihat melalui kaca berwarna mawar.

    Sejak kecil lagi, wanita berusia 57 tahun itu telah memetik kelopak mawar kegemarannya dengan penuh cermat — Mawar ‘Pengantin Lelaki’, dinamakan bersempena wangian lembutnya yang menawan.

    Di Permet, mawar adalah satu ritual — ia menjadi hadiah pertama kepada kekasih yang diidamkan. Dan ia mesti berwarna merah jambu, lambang cinta dan kesetiaan.

    Setiap keluarga di bandar itu menanam berpuluh-puluh jenis mawar di halaman mereka, termasuk Damask dan Provence yang terkenal dengan keharuman kuatnya, menjadikan Permet masyhur di seluruh Balkan kerana pengeluaran air mawar buatan tangan.

    Ariana Nikolla bergambar di taman mawar awam di Permet, kira-kira 250km ke barat daya ibu kota Tirana. – AFP
    Ariana Nikolla (kanan) dan Resmie Tuci semasa memproses mawar untuk menghasilkan air mawar secara tradisional di Permet. – AFP
    Resmie Tuci ketika proses menghasilkan air mawar. – AFP
    Ariana Nikolla (kiri) dan Resmie Tuci menyediakan air mawar secara tradisional. – AFP
    Eftali Qerimi (kiri) dan Odeta Nasi menyediakan manisan tradisional Albania menggunakan bahan air mawar di bengkel mereka di Permet. – AFP
    Eftali Qerimi menunjukkan manisan tradisional Albania menggunakan bahan air mawar di atas dulang. – AFP

    Namun, ia hampir mustahil untuk dibeli — terlalu berharga, kata penduduk tempatan, yang hanya menghadiahkan beberapa titis dari semasa ke semasa dan menyimpan stok mereka dengan penuh rahsia.

    “Air mawar seperti cinta, ia perlu dijaga dengan penuh teliti,” kata pembuat air mawar berpengalaman, Resmie Tuci.

    “Proses menghasilkan air mawar berkualiti tinggi amat sukar dan teliti. Ia memerlukan bekas tembaga khusus dan penggunaan bunga mawar yang tepat – yang mempunyai kelopak paling harum,” jelas wanita berusia 70 tahun itu.

    Kaedah tradisional yang diwariskan turun-temurun itu turut disenaraikan dalam inventori warisan budaya tidak ketara Albania.

    Pertama, sehelai kain diregangkan di atas mangkuk tembaga yang dililit benang, diletakkan dalam sebuah besen besar beralas rata berisi air.

    Kemudian, kelopak mawar yang dipetik dengan tangan disusun rapi di atas kain tersebut dan ditindih dengan batu rata yang diletakkan abu panas di atasnya.

    Kelopak mawar akan ‘berpeluh’ dan menghasilkan air mawar yang berharga melalui proses pemeluwapan.

    “Ia satu proses yang memakan masa berjam-jam,” kata Tuci kepada AFP. “Namun setiap titisnya sangat bernilai,” tambah Nikolla sambil mengisi sebotol kecil dengan air mawar yang akan diletakkan di tempat cerah selama beberapa minggu sebelum sedia digunakan.

    “Ia semahal emas,” katanya.

    Penduduk tempatan menggunakan air mawar untuk pelbagai tujuan – daripada melegakan mata yang pedih, krim anti-radang untuk kegatalan, hinggalah sebagai bahan dalam masakan.

    Eftali Qerimi, 63, begitu mempercayainya. Kek air mawar dan badam yang dibakarnya di bengkel kecil miliknya berbeza daripada llokums tempatan lain.

    Hanya menggunakan serbuk badam, gula dan air mawar, manisan berbentuk bunga itu menjadi sajian penting dalam pelbagai majlis keluarga di rantau itu.

    Dianggap sebagai jimat pembawa tuah, ia dihidangkan pada sambutan hari lahir, majlis perkahwinan dan kenduri menyambut kelahiran. Bersama wanita-wanita di bengkelnya, Qerimi menghasilkan sehingga 10 kilogram Turkish delight setiap hari, dijual pada harga 50 euro sekilogram.

    Kadangkala, beliau turut membuat versi kecil berbentuk tapak kaki anak damit – satu tradisi yang dikatakan sebagai doa untuk umur panjang anak damit baru lahir.

    Antara sesi pembuatan, mereka turut menghasilkan jem kelopak mawar, dengan keharumannya memenuhi ruang kerja.

    “Mawar adalah segala-galanya bagi kami; ia melambangkan hati, cinta dan kebahagiaan hidup,” kata Qerimi yang sedang sibuk menjelang musim pelancongan.

    “Pelancong berpusu-pusu ke sini dan selepas menikmati keindahan semula jadi lembah ini – termasuk gaung dan taman alam semula jadinya – mereka juga mahu merasai keenakan makanan tradisi kami,” katanya tersenyum. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda