Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Setelah berjaya menjadi empat peserta teratas dalam rancangan Pentas Dakwah yang berlangsung sepanjang Ramadan di Jakarta, Indonesia, Awang Mohd Rif’at Atiyah bin Haji Anwari yang mewakili Negara Brunei Darussalam telah selamat pulang ke tanah air, baru-baru ini.
Kepulangan Awang Mohd Rif’at Atiyah disambut baik oleh kedua-dua ibu bapanya serta ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Beliau merupakan salah seorang daripada enam wakil negara yang menyertai Program Akademi Sahur Indonesia (Aksi Asia) 2017 yang telah disiarkan di Stesen TV Indosiar sepanjang Ramadan lalu.
Di peringkat akhir, beliau telah berkongsi markah dengan peserta dari Indonesia, Zaki Mubarak sehingga memerlukan suara barisan juri yang mana akhirnya keputusan juri telah berpihak kepada perwakilan Indonesia.
Berada di tempat keempat daripada 24 orang peserta dari empat buah negara yang menyertai iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Malaysia, setentunya membawa kejayaan tersendiri bagi mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenaan untuk terus menyampaikan dakwah Islamiah di negara ini.
Awang Mohd Rif’at Atiyah yang juga merupakan anak kepada penceramah terkenal di negara ini, Haji Anwari menyatakan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana diberikan kenikmatan dan anugerah indah yang diberi yang mana beliau mampu membawa nama negara sehingga ke tahap ini.



Beliau juga menyampaikan penghargaan terima kasih kepada ibunya, Dayang Haidah binti Mohidin bersama ayahnya, Haji Anwari Rawee, isteri, Dayang Faiyadh Syairaziedan, Awang Bazil Fikri dan isteri, Awang Mohd Rifaie dan isteri, Dayang Anisah Syakirah dan seluruh keluarga besar Mohidin Bakir atas doa dan sokongan yang tiada hentinya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan yang juga sama-sama mendoakan perjalanan ini.
Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada pasukan pengurusan Octove Company Brunei dan DJ Daffy atas kepercayaan yang diberikan kepadanya kerana menjaga mereka termasuklah peserta-peserta negara dengan baik sepanjang berada di Jakarta.
“Tidak dilupakan murabbi dan teman-teman seperjuangan di Aksi Asia 2017 yang banyak berkongsi ilmu dan nasihat kepada saya yang pasti akan dirindukan. Semoga Allah membalas jasa baik mereka semua dengan berlipat kali kebaikan,” ujarnya lagi sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.