Insiden rumah selebriti Korea Selatan diceroboh sekali lagi berlaku dan kali ini anggota kumpulan Billlie iaitu Haruna pula menjadi mangsa.
Susulan kejadian itu, ia memberi kesan besar terhadap Haruna sehingga dia perlu menjalani pemeriksaan psikologi.
Memetik laporan mStar, meskipun wakil agensi tidak menyatakan secara terperinci, namun ramai peminat yakin Haruna kini dalam keadaan trauma.
“Seorang yang tidak dikenali telah memecah masuk ke kediaman milik Haruna, merosakkan pintu dan menjejaskan tempat tinggalnya.
“Pihak pengurusan bertindak segera membuat laporan polis. Haruna telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat, jauh dari tempat kejadian. Pemeriksaan kesihatan dan emosi telah dijalankan,” jelas wakil agensi.
Haruna juga terpaksa direhatkan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti kumpulan Billlie yang kini sedang giat dijalankan.
Pihak agensi juga bakal mengambil tindakan tegas terhadap pelaku demi melindungi keselamatan artis di bawah jagaan mereka.
“Kami merancang untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan segera,” jelasnya.
Sebelum ini, beberapa selebriti lain seperti Leeteuk dan kumpulan Enhypen juga pernah mengalami nasib sama. – Agensi
