Penyanyi Hasif Upin nekad menyertai uji bakat program realiti One In A Million (OIAM) di Karnival Jom Heboh (KJH), Johor Bahru, baru-baru ini.
Ini berikutan Hasif tak puas hanya mendendangkan satu lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38, tahun lalu.
Rakan duet penyanyi Ziana Zain menerusi lagu Waktu itu berharap dapat menghiburkan penonton sekiranya berjaya melangkah ke peringkat seterusnya, sekali gus membuktikan kebolehannya sebagai penyanyi versatil.
“Tujuan utama saya menyertai OIAM untuk menghiburkan penonton. Saya tidak puas menyanyi di AJL 38 kerana hanya satu lagu. Walaupun AJL bukan calang-calang pentas, tetapi rasa ingin menyanyi lebih kuat dan tidak salah mencuba nasib dalam OIAM supaya boleh membuktikan bakat saya.
“Saya percaya dengan menyertai program realiti orang akan lebih mengenali siapa Hasif Upin. Inilah maksud saya nak membuktikan kepada mereka yang tidak mempercayai bakat saya,” katanya kepada BH Online.
Kata Hasif lagi, dia sememangnya mengikuti OIAM sejak dulu dan sebaik program itu kembali, dia merasa sangat teruja untuk menjadi salah seorang peserta.
“Kalau tanya kenapa sekarang, sebenarnya saya pun tak ada buat apa-apa. Apa salahnya saya melakukan sesuatu yang saya minati.
“Sebelum ini, saya pernah menyertai pertandingan Mikrofon Impian dan The Audition.
Dengan cara ini laluan saya akan lebih mudah dan saya percaya rezeki datang daripada Allah, cuma kita kena usaha lebih,” katanya.
Selepas hampir 15 tahun, OIAM kembali untuk musim baharu. Sesi uji bakat dilakukan dalam dua platform iaitu secara bersemuka atau secara atas talian.
Selepas Johor Bahru, uji bakat OIAM akan diteruskan lagi di lima lokasi seluruh Malaysia iaitu Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu antara 9 hingga 17 November ini. – Agensi