Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasil berbudi pada tanah, jadi pengeluar kopi nombor satu

    BAOSHAN – “Aroma kopi menusuk kalbu”, demikian kenikmatan dirasai penggemar kopi apabila berkunjung ke Kampung Xinzhai yang terletak di bandar Baoshan, Yunnan, China.

    Dahulunya sebuah perkampungan miskin dan dibelenggu masalah jenayah tetapi segalanya berubah apabila kerajaan tempatan China melantik Wang Jiawei dan beberapa rakannya datang ke kampung itu untuk membangunkan ekonomi penduduk melalui penanaman kopi.

    Melalui jerih payah penduduk kampung menanam kopi di bawah bimbingan Wang, komoditi itu kini menjadi penyumbang utama pendapatan penduduk malah Kampung Xinzhai juga dikenali sebagai Kampung Kopi Nombor Satu di China.

    “Berbudi kepada tanah lambat-laun mendapat hasilnya”, itulah peribahasa yang mungkin paling sesuai diberikan untuk penduduk Kampung Xinzhai.

    Kualiti produk kopi yang dihasilkan di kampung itu setanding dengan kopi dari Pekan Lujiang di wilayah Anhui yang sememangnya merupakan pengeluar kopi berskala besar di China sejak 1952.

    Kualiti produk kopi yang dihasilkan di kampung itu setanding dengan kopi dari Pekan Lujiang di wilayah Anhui. – Bernama
    Komoditi itu kini menjadi penyumbang utama pendapatan penduduk malah Kampung Xinzhai juga dikenali sebagai Kampung Kopi Nombor Satu di China. – Bernama

    Pelbagai usaha dilakukan Wang yang juga ketua Kampung Xinzhai sejak 2012 lagi dalam menyakinkan penduduk untuk terbabit dalam penanaman kopi.

    “Tujuh kali saya ditawarkan oleh kerajaan untuk datang ke kampung ini bagi mengetuai pembangunan di sini selari dengan kehendak kerajaan yang mahukan usahawan atau orang kaya membantu menyediakan platform ekonomi buat penduduk.

    “Akhirnya saya terima tawaran itu. Ketika itu, saya dan beberapa pemuda telah dipilih oleh kerajaan pusat ke Kampung Xinzhai dan dibahagikan kerja mengikut kepakaran masing-masing,” kata Wang kepada Bernama semasa lawatan program Kenali Baoshan di sini.

    Ternyata inisiatif yang dilakukan Wang membuahkan hasil apabila ramai penduduk mula yakin terhadap ekonomi industri kopi selepas kenaikan harga komoditi itu pada 2016.

    Penanaman kopi bukan sahaja berjaya mengubah taraf sosioekonomi penduduk malah menjadikan kampung itu dikenali dan menjadi tumpuan pemain industri yang ingin melihat lebih dekat kejayaan penanaman komoditi itu di pergunungan Gaoligong sekali gus membawa perubahan dinamik kepada bandar Baoshan.

    Wang berkata penanaman kopi kini menjadi antara punca pendapatan utama penduduk Kampung Xinzhai tetapi pada masa sama beliau turut merangka beberapa pelan yang dapat mengukuhkan ekonomi kawasan itu termasuk membawa pembaharuan untuk golongan muda.

    “Saya menghantar belia lelaki kampung ini belajar dan menguasai kemahiran seperti kimpalan manakala yang wanita pula menguasai kemahiran memasak.

    “Dengan kemahiran yang dipelajari, mereka mampu mencari pekerjaan berkaitan terutama ketika bukan musim kopi sekali gus menjamin kelangsungan hidup masing-masing,” kata Wang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda