Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasil CoBT Sabah meningkat kepada RM7 juta pada 2024

    TUARAN, 6 MEI – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah keseluruhan hasil negeri daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) meningkat kepada RM7 juta pada 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun sebelumnya.

    Beliau berkata hasil CoBT tersebut diperoleh daripada 18 daerah yang aktif dalam sektor berkenaan, yang terus menunjukkan perkembangan pesat khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

    “Pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Kiulu muncul sebagai satu daripada perintis utama dalam pembangunan CoBT. “Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu di sini hari ini.

    Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di Sabah yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.

    Ketua Menteri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

    Hajiji berkata Sabah menerima sebanyak 923,709 pelancong pada suku pertama tahun ini, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini. Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di Bangunan DUN, Sabah, pada 15 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda