KOTA KINABALU, 29 Mac – Agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan bagi 2018 berjumlah RM12.67 juta yang diterima Sabah daripada Kerajaan Persekutuan akan digunakan untuk meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Assaffal P. Alian berkata masih ada banyak ruang boleh dilakukan untuk menambah kedatangan pelancong ke negeri ini, seterusnya menyumbang kepada pendapatan negeri ini dan kerajaan.
“Pungutan hasil cukai pelancongan merupakan satu kejayaan dalam usaha menambah hasil pendapatan untuk negeri ini dan sumbangan besar terhadap industri pelancongan di negara ini.
Ini juga bukti kerja keras kita di Sabah dalam memastikan tarikan pelancongan khususnya berkaitan alam sekitar dijaga,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran acara Lampoopalooza di Jalan Gaya oleh Lembaga Pelancongan Sabah di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan bagi 2018 yang berjumlah RM67.74 juta sudah disalurkan kepada kerajaan negeri setakat bulan ini seperti dijanjikan.
Antara kerajaan negeri yang menerima 50 peratus hasil cukai pelancongan adalah Sabah sebanyak RM12.67 juta, Pulau Pinang (RM10.98 juta), Selangor (RM10.3 juta), Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta) dan Kedah (RM5.08 juta).
Assaffal yakin hasil cukai pelancongan di Sabah pada tahun ini dijangka akan bertambah berikutan jumlah kedatangan pelancong yang meningkat.
Statistik Lembaga Pelancongan Sabah bagi kedatangan pelancong ke Sabah pada Januari lepas menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak 340,432 pelancong mengunjungi negeri ini pada Januari lepas terdiri daripada 127,205 pelancong antarabangsa dan 213,227 pelancong domestik, manakala Januari tahun lepas berjumlah 312,242 orang yang mana 122,120 pelancong antarabangsa dan 190,122 pelancong domestik. – Bernama
