Hasil kudapan mudah, rangup

Oleh Nurdiyanah R.

Bukan semua orang pandai makan sayur, kadang-kadang ada yang sanggup membuang atau mengasingkan sayur yang dibubuh dalam mi dan nasi goreng di pinggir-pinggir pinggan mereka.

Itulah lumrah kehidupan, lain orang lain pula cita rasanya, bukan anak-anak kecil sahaja yang ada yang tidak pandai makan sayur namun ada juga golongan dewasa yang memang liat untuk memakannya.

Namun hakikatnya kalau tidak dicuba sampai bila pun mereka tidak akan makan sayur.

Mungkin mereka yang cerewet untuk makan sayur boleh mencuba resipi sayur goreng celup tepung ini.

Daun bayam, pucuk ubi atau mulberi antara yang boleh dijadikan sebagai kudapan atau kerepek rangup yang begitu enak selain mempunyai khasiatnya.

Daun bayam yang dicelup bersama tepung goreng enak dimakan begitu sahaja.
Daun ubi juga boleh dijadikan kerepek walaupun tanpa dicelup tepung.
Daun mulberi goreng menjadi kudapan terbaharu namun bagi mereka yang memakan ubat-ubatan lain, perlu mengehadkan pengambilannya.

Bayam merupakan sejenis sayuran berdaun yang begitu mudah didapati di negara ini yang mempunyai dua jenis yang setakat ini diketahui popular dalam kalangan masyarakat kita iaitu bayam hijau dan bayam merah.

Kebiasaannya sayur ini hanya diolah dengan dimasak secara tumis air atau pun minyak sahaja, namun sebenarnya sayur ini juga boleh dijadikan kerepek. Sesiapa yang tidak pandai makan sayur ini, pasti kali ini akan terus jatuh cinta.

Kudapan mudah, sihat dan rangup

Bagi sesiapa yang ingin mencuba, penyediaannya begitu mudah sekali dari segi bahan-bahan dan langkah-langkahnya. Bahan-bahan yang diperlukan terdiri daripada daun bayam, tepung beras, tepung ubi, bawang merah dan bawang putih, ketumbar, garam dan telur.

Mula-mula daun bayam mestilah dicuci dengan air yang bersih dan kemudian keringkan.

Seterusnya, bawang putih, bawang merah dan ketumbar ditumbuk halus dan disimpan dalam satu bekas terlebih dahulu. Bagi sesiapa yang bercita rasa pedas boleh tambahkan cili padi bersama adunan bahan yang ditumbuk halus tersebut.

Kemudian tepung beras dan tepung ubi dibancuh dengan sedikit air sehingga sebati berserta bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Setelah selesai proses bancuhan berkenaan, panaskan minyak dalam kuali sebelum bermulanya sesi menggoreng.

Dengan mencelupkan daun bayam ke dalam adunan yang dibancuh sebati berkenaan dan gorengkan sehelai demi sehelai daun bayam, pastikan menggunakan api yang sederhana. Apabila sudah siap digoreng, keringkan minyak yang berlebihan lalu simpan ke dalam balang kedap udara supaya tahan lama dan kekal rangup.

Sementara itu, bahan bagi daun ubi, kita perlukan pucuknya, tepung Bestari atau gandum, kiub ayam, air dan minyak untuk menggoreng.

Sebelum menggoreng, daun ubi kayu di carik-carik ikut kelopaknya, kemudian cuci bersih dan keringkan airnya. Daunnya boleh direbus terlebih dahulu atau pun tidak tertakluk cita rasa masing-masing. Kemudian bancuh semua bahan kecuali minyak dalam besen, bancuhan tepung jangan terlalu cair.

Daun ubi kayu yang sudah dicuci tadi celupkan dalam bancuhan tepung dan goreng hingga garing.

Manakala daun mulberi pula, lebih kurang dengan bahan-bahan di atas seperti tepung jagung, tepung beras, serbuk kari atau serbuk barbeku, secubit lada putih, garam, air suam.

Sebelum membancuh tepung bersama bahan-bahan di atas, pastikan ia tidak terlalu pekat atau cair, kemudian celup daun mulberi dan goreng sehingga garing guna api sederhana.

Semua bahan-bahan celupan anda boleh sesuaikan mengikut cita rasa dengan menambah bawang putih, ketumbar, lada atau jika mahu ringkas, boleh guna tepung tempura sahaja.

Ketahui khasiatnya

Perlu diketahui juga, sayur bayam ini mengandungi khasiat tersendiri. Sebagai sayuran yang mengandungi sumber zat besi yang tinggi yang berfungsi antaranya membawa oksigen ke seluruh tubuh, mencegah anemia, meningkatkan metabolisme, membantu fungsi otak agar berjalan normal dan meningkatkan sistem imun badan dalam melawan penyakit.

Selain itu, sayur ini juga mengandungi pelbagai kandungan nutrisi yang lain yang diperlukan oleh tubuh badan kita iaitu ia mengandungi sumber seperti vitamin, magnesium, asid folik, protein, dan kalsium serta rendah kalori.

Sebagai salah satu sayur yang memiliki nutrisi yang lengkap, antara manfaatnya untuk kesihatan tubuh ialah menjaga kesihatan otak dan meningkatkan daya memori; memberikan zat pada tulang dan sendi; dan menjaga kesihatan organ pencernaan. Ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi dan mencegah diabetes, menyihatkan kulit serta meningkatkan sistem imunisasi tubuh melawan penyakit.

Sementara itu, terdapat kajian mengatakan daun mulberi dapat mengurangkan paras gula dalam darah, insulin, kolesterol selain dapat memerangi penyakit jantung, diabetes, ia bersifat antikanser, menyihatkan hati dan juga baik untuk kulit.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang mempunyai penyakit sedia ada dan mengambil ubat-ubatan lain perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana walaupun ia memberi manfaat yang baik ia juga boleh memberi kesan sampingan kepada orang-orang tertentu.

Contohnya jika pengambilan yang banyak ia mungkin boleh menyebabkan diarea, pening, muntah-muntah, perut kembung jika diambil bersama suplemen lain dan ubat diabetes.

Bagi kanak-kanak dan wanita mengandung atau menyusukan anak mereka perlu mengelak untuk memakannya disebabkan penyelidikan kesihatan yang belum mencukupi.

Idea terbaik adalah mendapatkan khidmat nasihat pengamal perubatan sebelum mengambil mana-mana suplemen herba terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan.