BUKIT MERTAJAM – Dua jurutera kelahiran Pulau Pinang mencipta mesin pensterilan penutup mulut dan hidung (mask) hibrid yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan mask pakai buang.
Peter Chung dan Datuk Lee Teong Li yang ditugaskan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mencipta mesin itu mengambil masa enam bulan menyiapkan mesin yang dinamakan Wash Easy tersebut, kata Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Rozali Mohamud kepada Bernama baru-baru ini.
“Mesin ini bukan sahaja menggalakkan orang ramai menggunakan mask guna semula tetapi juga mudah digunakan dan ini dipersetujui orang ramai yang mencubanya,” kata Rozali pada sesi demonstrasi mesin itu di pejabat MBSP di Bandar Perda di sini.
Wash Easy boleh mensterilkan sebarang mask guna semula yang diperbuat daripada fabrik dengan pensterilan sehelai mask mengambil masa 75 saat, kata Chung. Namun katanya selang masa menunggu hanya sekitar 25 saat, iaitu pengguna boleh memasukkan mask lain sambil mesin itu ‘membasuh’ mask yang pertama.
“Keseluruhannya, mesin ini boleh mensterilkan 180 helai mask dalam tempoh sejam jika dimasukkan secara berterusan ke dalam mesin,” katanya, menambah mesin itu hanya memerlukan air dan elektrik untuk operasi.
Menurutnya, mereka menyasarkan penggunaan mesin itu di kilang-kilang memandangkan sebahagian besar pekerja kilang menggunakan mask pakai buang yang boleh dibuang sahaja selepas pemakaian selama lapan jam berbanding membasuh mask guna semula.
Mesin ini akan menggalakkan pekerja menggunakan mask guna semula kerana proses pensterilan yang singkat, katanya, menambah pada masa ini mesin itu ditempatkan di dua lokasi, iaitu di MBSP dan sebuah balai polis di bahagian pulau.
Selain itu, beliau menyasarkan mesin tersebut disediakan di agensi kerajaan dan kawasan tumpuan awam seperti pusat beli-belah dan sekolah. Mesin boleh dibeli pada harga RM6,000 atau menerusi sewa beli dengan kadar sewa bulanan RM500 selama 18 bulan, katanya. – Bernama

