Muzik rap Malaysia kini sedang berkembang dengan kehadiran artis-artis berbakat yang semakin berani menonjolkan identiti sendiri.
Penyanyi dan komposer Alyph menyifatkan gelombang itu sebagai satu fenomena yang positif namun perlu disertakan dengan komuniti lebih luas bagi memastikan kesinambungan genre tersebut dalam industri.
Alyph atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah, 35, berkata kemunculan artis rap, sama ada yang bernaung di bawah label ataupun secara bebas, berjaya mengukuhkan pengaruh mereka menerusi kelompok peminat tersendiri.
“Kita ada ramai artis yang terikat (di bawah label) ataupun bebas yang sedang mengumpul kumpulan peminat mereka sendiri seperti 53 Universe, MeerFly dan Selatan dan mereka lakukan dengan jaya.
“Komuniti sangat penting dalam muzik rap. Kalau kita terus tembus arus perdana tanpa asas komuniti yang kuat, kita mungkin perlu mengadaptasi pendekatan yang lebih konvensional untuk memastikan kelangsungan dalam industri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan persembahan khas bagi mempromosikan album sulungnya The Storm di sebuah pusat beli-belah, di sini baru-baru ini.
Popular menerusi lagu Swipe, Alyph menegaskan beliau berkarya demi menghasilkan muzik yang jujur dan berkualiti, bukan mengejar tular.
“Saya rasa kalau seseorang itu terlalu mengejar tular, ia menunjukkan pemikiran yang agak cetek sebagai seorang artis. Tular itu bukan dalam kawalan kita sebaliknya bergantung pada bagaimana pendengar menerima muzik dan kandungan yang kita hasilkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, anak seni kelahiran Singapura itu bersyukur kerana The Storm mendapat reaksi positif daripada peminat sejak dilancarkan seminggu lepas. – Bernama