Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BAHARU – Kecacatan fizikal sejak lahir tidak menghalang Orang Kelainan Upaya (OKU), Kashim Mohamad yang berusia 66 tahun, untuk menghasilkan lukisan yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit.
Kashim atau mesra dipanggil Cikgu Kashim, yang cacat tangan kiri hingga ke paras siku, berkata walaupun hanya menggunakan sebelah tangan sahaja, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya malah mampu meletakkan namanya sebaris pelukis profesional.
Bapa kepada sembilan anak berusia antara 18 dan 42 tahun itu berkata minatnya dalam bidang lukisan mula berputik sejak di bangku sekolah rendah, malah beliau mula bergiat aktif memasuki pertandingan yang diadakan di peringkat daerah di negeri ini bermula di sekolah menengah.
Katanya, sudah lebih 30 tahun beliau membabitkan diri sebagai guru lukisan di beberapa buah sekolah di sekitar bandar ini sejak 1973 termasuk Sekolah Chabang Empat Tumpat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amat Maher dan SMK Sultan Ismail sebelum bersara pada 2009.
“Selepas bersara sebagai guru pelukis, saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa, dan sehingga kini saya sudah menghasilkan hampir 1,000 lukisan termasuk kaligrafi, abstrak dan landskap. Hasil karya yang dihasilkan dijual bermula serendah RM350 dan yang paling mahal pernah terjual berharga RM5,000 iaitu kepada seorang penduduk tempatan di negeri ini dengan lukisan bercorak abstrak yang sentiasa mendapat permintaan ramai,” kata Kashim.
Katanya, beliau mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam untuk menyiapkan sebuah lukisan kaligrafi dan pernah menghabiskan masa kira-kira lima hari bagi menghasilkan sebuah karya jenis landskap yang rumit.
“Setiap lukisan yang dihasilkan mempunyai nilai berharga dan ketika melukis saya memerlukan keadaan yang tenang dan supaya dapat menghasilkan seni yang indah, malah kebiasaannya ilham dan idea melukis ini dating secara spontan,” kata Kashim yang juga ahli Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan. – Agensi