Hasilkan bata guna abu gunung, sisa plastik

BINAN, FILIPINA, 19 JAN – Filipina mengorak usaha kreatif dengan menghasilkan bata yang diperbuat daripada campuran abu gunung berapi dan sisa buangan plastik, selari usaha negara berkenaan menangani masalah pencemaran dan kekerapan dilanda bencana alam sekitar.

Pegawai Alam Sekitar Binan, Rodelio Lee, berkata pihaknya mengambil peluang untuk tidak membazirkan sisa buangan domestik seperti plastik, sebaliknya mengoptimumkan bahan terbabit supaya dapat dijanakan semula menjadi produk baharu.

Sehubungan itu, jabatan yang bertanggungjawab menyelia isu alam sekitar di daerah terbabit bertindak membersih dan menghimpunkan abu gunung berapi untuk dicampurkan dengan pasir, simen dan sisa plastik bagi menghasilkan 5,000 bata setiap hari.

“Bata ini kemudian disalurkan untuk memenuhi keperluan pembinaan projek bangunan tempatan. Daripada sekadar mengumpulkan abu ini di sesuatu tempat, lebih baik kita manfaatkan ia, termasuk plastik,” katanya. Pada 2019, Filipina yang berdepan krisis sisa buangan merekodkan jumlah plastik sekali guna di luar jangka, iaitu membabitkan perangkaan hampir 60 bilion helai setiap tahun. – AFP

Gambar fail pada 17 Januari 2020 menunjukkan para pekerja ketika bertugas di sebuah kilang pembuatan bata di Bian. – AFP