SANTIAGO, CHILE – Keluarga Nicolas Bergerie telah berkecimpung dalam perusahaan pembuatan keranda selama empat generasi, tanpa membuat apa-apa perubahan.
Namun melihat koronavirus berleluasa di Eropah, dia telah membuat keputusan untuk mengeluarkan produk yang baharu.
Dikenali sebagai ‘COVID’, keranda tersebut tidak diperbuat daripada kayu-kayu yang mahal, ukiran yang teliti dan kaca pantauan, ia hanyalah kotak kayu ringkas yang murah dan cepat untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Produk yang tepat untuk Chile, yang menjadi ‘hot spot’ virus berkenaan meskipun kerajaan telah mengambil langkah-langkah agresif untuk mengawal penyebarannya.
Pada Jumaat seminggu yang lepas, Chile telah mencatat sebanyak 230,000 kes menjadikannya negara kesembilan tertinggi di dunia yang mencatatkan jangkitan koronavirus, meski mempunyai penduduk kecil iaitu kurang daripada 19 juta orang.
Dengan lebih daripada 5,000 kes baharu dicatatkan sehari, minggu lalu Chile dijangka akan mengatasi Itali dalam senarai negara yang paling banyak dijangkiti.
Dengan lebih daripada 4,000 kematian di Chile, perusahaan Bergerie, Bergut Funeral Services, telah melihat peningkatan dalam jumlah tempahan. Menurutnya, bengkelnya telah menghasilkan sebanyak 100 buah keranda dalam masa seminggu, dua ganda lebih banyak daripada waktu sebelum pandemik itu melanda, meskipun begitu pendapatannya juga menurun lebih daripada separuh kerana harga yang murah.
“Kami melihat pada pengalaman antarabangsa dan kami mula menghasilkan lebih banyak keranda kerana kami faham apa yang akan terjadi,” kata ketua bengkel, Manuel Gonzalez.
Kerajaan Chile telah melaporkan sebanyak 252 kematian pada Jumaat, jumlah tertinggi semenjak COVID-19 melanda Chile pada awal Mac lepas. Kebanyakan jangkitan dan kematian berlaku di ibu negara, Santiago.
Jumlah sebenar jangkitan telah mencecah lebih daripada jumlah yang dilaporkan, Chile telah menjalankan sebanyak 20,000 ujian virus sehari dan lebih daripada 30 peratus didapati positif, bukti kukuh yang menunjukkan banyak jangkitan masih belum dikesan.
Pihak kerajaan mengakui bahawa usaha mereka untuk memerangi virus tersebut masih belum mencukupi, terutama dalam mengesan dan mengasingkan orang-orang yang mempunyai kontak dengan mereka yang telah dijangkiti.
Pandemik tersebut hampir melumpuhkan sistem perubatan Chile, unit-unit penjagaan rapi (ICUs) di Santiago telah mencecah 96 peratus kapasiti, dan ia hanya disebabkan puluhan pesakit dihantar ke hospital-hospital lain untuk mengurangkan beban di ibu negara.
Koronavirus memasuki Chile melalui pelancong-pelancong yang bercuti di Eropah. Pada April lalu, kerajaan Chile telah mengenakan kuarantin ketat pada kejiranan-kejiranan mewah di Santiago dan mula dilaratkan ke kejiranan-kejiranan lain di seluruh bandar itu.
“Pada seketika kami telah mendapat peluang,” kata Pablo Villalobos, pengkaji kesihatan awam di Harvard dan penasihat di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). “Ia adalah peluang yang tersia-sia.”
Virus itu mula merebak tanpa kawalan di seluruh Santiago pada awal Mei, kerana keengganan pihak kerajaan untuk menutup sistem pengangkutan awam dan langkah-langkah kawalan yang sepatutnya diambil tidak dibuat.
Menteri Ekonomi, Lucas Palacios mengatakan pada bulan lepas sebanyak 174,000 daripada 427,000 perniagaan di bandar itu masih terus berjalan, bermakna lebih 2.3 juta orang masih keluar bekerja setiap hari, meski peraturan untuk menutup semua operasi kecuali yang penting sahaja telah dikeluarkan.
“Pihak kerajaan tidak mengambil langkah pengekangan yang sepatutnya” kata Claudio Castilo, pakar kesihatan awam di Universiti Chile. Castillo berkata kerajaan telah mengeluarkan mesej-mesej awam yang mengelirukan, menyebabkan ramai penduduk Chile mempercayai bahawa hanya warga-warga emas yang menghidap penyakit-penyakit akan berdepan risiko teruk akibat virus itu dan hospital-hospital mempunyai kapasiti yang cukup untuk merawat orang ramai.
Kerajaan Presiden Sebastian Pinera telah memulakan perbincangan pada bulan April mengenai cara selamat mengembalikan kehidupan harian kepada normal.
Chile akhirnya mengenakan lockdown keseluruhan pada pertengahan Mei apabila kes-kes meningkat kepada jumlah ribuan jangkitan setiap hari. Tetapi langkah itu mempunyai kesan yang minima dan jumlah-jumlah jangkitan telah meningkat sehingga mencecah enam kali ganda.
Kajian yang dijalankan oleh University of Development di Santiago mendapati bahawa pergerakan di seluruh bandar telah berkurangan sebanyak 29 peratus, namun ia perlu berkurangan sehingga 50 peratus ke 60 peratus untuk mengurangkan kadar jangkitan secara signifikan. – AP